UNDI MELAYU PUNCA
KEGAGALAN PAS
SHAH ALAM - Kemerosotan undi Melayu kepada Pas pada PRU13
Mei lalu menjadi faktor utama mengapa parti itu gagal dalam usaha mengganti Umno
sebagai parti tunggal Melayu di negara ini.
Ketua Lajnah Penyelidikan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata,
berdasarkan hasil bedah siasat PRU13, Pas didapati mengalami kemerosotan
sokongan undi kaum Melayu sebanyak dua peratus.
Menurutnya, disebabkan itu impian parti mahu menggantikan
Umno sebagai parti tunggal Melayu masih belum dapat dilaksanakan.
"Sementara PKR mengalami kemerosotan undi Melayu tujuh
peratus. DAP pula ada penambahan undi 20 peratus daripada etnik Melayu,"
katanya pada ucapan penggulungan Muktamar, semalam.
Beliau berkata, sokongan umum pengundi Melayu kepada Pas
berdasarkan PRU13 lalu sekitar 40 peratus.
"Ia menunjukkan sokongan, termasuk wanita Melayu masih
tidak memuaskan, iaitu 30 peratus sahaja. Sokongan pemuda Melayu pula 45 hingga
46 peratus," katanya.
Katanya, kehilangan undi ini masih dalam kawalan dan tidak
menjadi parah, tetapi perwakilan tidak boleh terus leka dan perlu bersama-sama
mencari jalan menarik semula undi Melayu.
"Penurunan undi Melayu ini boleh dibahagikan mengikut
tempat dan mengikut negeri.
"Misalnya, jumlah undi di Terengganu dan Johor
menunjukkan peningkatan. Secara tidak langsung kita masih mendapat sokongan
positif dari kaum Melayu," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian terkini, Pas perlu
menangani masalah kemerosotan ini dengan kembali fokus kepada isu sosial
ekonomi, terutama kepada golongan berpendapatan rendah.
"Kelompok wanita juga perlu diberi tumpuan oleh
Muslimat Pas demi menempah kemenangan pada PRU14 nanti," katanya.
-Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment