BATAL
BOIKOT PARLIMEN, SEMUA AHLI PARLIMEN
PAKATAN ANGKAT SUMPAH
Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat
(PR) akan mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti
sebagai menghormati prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang
itu menegaskan pendirian supaya perlantikan
Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang yang tidak
berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti pemerintah sahaja.
"Kami percaya kepada semangat
demokrasi berparlimen, oleh sebab itu kami tidak memboikot.. semua ahli
Parlimen akan mengangkat sumpah pada 24 Jun nanti.
"Walau bagaimanapun, saya ingin
tegaskan bahawa kami tidak mahu seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan
tidak mahu jurucakap Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar
dalam satu sidang media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.
Selain itu, Anwar memberitahu salah satu
faktor PR tidak memboikot angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk
mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman
sebagai Speaker ke-13.
"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul
Kadir Sulaiman sebagai Speaker, kami mahukan individu yang dilantik adalah
seseorang yang mempunyai integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment