JIKA
TAMBANG BAS NAIK 30%
Alhamdulillah, mujurlah kerajaan tidak
meluluskan permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA),
walaupun difahamkan sebelum ini mereka masih kekal dengan pendirian untuk tetap
menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus, walaupun banyak pihak
menyifatkan kadar tersebut sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah.
Jika pihak kerajaan benar-benar melayan
tuntutan mereka itu, pastinya akan mencetuskan bebanan kewangan kepada
sebahagian besar rakyat yang masih bergantung harap kepada perkhidmatan awam
untuk berulang alik ke kampung halaman masing-masing khususnya ketika musim
perayaan.
Untuk itu, saya beranggapan keputusan
pihak pengusaha bas sebelum ini untuk tidak menjual tiket lebih awal seperti
kebiasaanya, iaitu pada Julai dan Ogos sebagai ‘ugutan cara halus’ kepada pihak
kerajaan, khususnya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar
meluluskan permohonan tersebut.
Pada saya, pihak pengusaha bas ekpress
tidak sewajarnya mengambil sikap dan tindakan sedemikian yang jelas
mencerminkan sikap terlalu mementingkan diri sendiri, tanpa ada rasa
tanggungjawab sosial kepada rakyat dan negara.
Apalah salahnya, jika sekali-sekala
‘kurang untung’ akibat membantu rakyat dan negara. Sifat terlalu mementingkan
keuntungan perlulah diredakan. Apatah lagi, 'budaya ugut-mengugut' seperti ini.
Bertimbang rasalah sebelum membuat
apa-apa tuntutan, agar pihak – pihak tertentu tidak dizalimi. Baik pengusaha
bas, pemandu mahupun rakyat jelata. Jika ini dapat dijadikan budaya dalam gerak
laku ekonomi kita, Insha Allah kestabilan dan keamanan ekonomi dapat dinikmati
secara lebih adil. Banyak pihak akan berpuas hati dan tidak menyanggahi antara
satu sama lain.
Andaikata, kerajaan 'bersetuju' dengan
tuntutan tersebut, inilah antara hasil bebanan kewangan yang bakal ditanggung
oleh rakyat kebanyakan.
Trip : Kuala Lumpur ke Pasir Mas
Harga
sekarang : RM43
Harga
selepas 30% : RM55.90
Cuba bayangkan, jika lapan orang
sekeluarga yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bas tersebut untuk berulang
alik sebanyak lima kali setahun .
RM55.90 X 8 orang X 10 hala = RM4,472.00
(belum termasuk kos teksi dan makan minum)
Alamaknya, makin ramailah yang akan
jarang balik ke kampung halaman masing-masing untuk menziarahi kedua ibubapa
dan sanak saudara. Tambahan lagi, kenaikan gaji khususnya mereka yang berada di
sektor swasta hanyalah sekitar 3 peratus hingga 6 peratus setahun. Itupun,
tidak menentu. Kadang-kadang ada, kadang tidak ada.
Saya masih ingat lagi, lima belas tahun
yg lalu ketika saya mula-mula bermujahadah mencari kehidupan di Kuala Lumpur
harga tiket pada waktu itu hanya sekitar RM25 sahaja. Itupun, dalam keadaan
tidak ada lambakan bas ekpress pelbagai jenama seperti hari ini!
Saya percaya, dalam konteks hari ini
soal pengangkutan sudah termasuk dalam kategori 'dhururiyyat' (keperluan asas)
yang perlu diberikan 'perhatian' secara serius dan telus oleh kerajaan, agar
rakyat pelbagai lapisan dpt menikmati hak mereka yang selayaknya.
Justeru, diharapkan kerajaan tidak perlu
terlalu 'tunduk' kepada tuntutan seperti itu. Namun, pada masa yang sama perlu
juga memikirkan satu mekanisme yangg sesuai dan munasabah agar para pengusaha
bas turut mendapat hak mereka yang selayaknya. Antaranya, dengan melaksanakan
sistem secara tender terbuka untuk mengurus pengangkutan bas ekpress ke seluruh
negara di bawah satu konsortium yang dikawal selia secara terus dan telus oleh
pihak SPAD.
Akhir sekali, mana-mana pengusaha yang
tetap berdegil perlu diberikan kata dua iaitu, ‘either take it or leave it’.
Banyak lagi pihak yang berkelayakan dan mahu menguruskan perkhidmatan tersebut
secara lebih professional dan telus.
Namun, ianya amat sukar dititik
noktahkan, sekiranya unsur ‘kronisme dan nepotisme’ berakar umbi dalam
projek-projek anugerah kerajaan..
–Abdul Hadi
Jusoh & Hashim Shiyuti, The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment