Showing posts with label bas. Show all posts
Showing posts with label bas. Show all posts

Thursday, June 20, 2013

JIKA TAMBANG BAS NAIK 30%

Alhamdulillah, mujurlah kerajaan tidak meluluskan permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), walaupun difahamkan sebelum ini mereka masih kekal dengan pendirian untuk tetap menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus, walaupun banyak pihak menyifatkan kadar tersebut sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Jika pihak kerajaan benar-benar melayan tuntutan mereka itu, pastinya akan mencetuskan bebanan kewangan kepada sebahagian besar rakyat yang masih bergantung harap kepada perkhidmatan awam untuk berulang alik ke kampung halaman masing-masing khususnya ketika musim perayaan.

Untuk itu, saya beranggapan keputusan pihak pengusaha bas sebelum ini untuk tidak menjual tiket lebih awal seperti kebiasaanya, iaitu pada Julai dan Ogos sebagai ‘ugutan cara halus’ kepada pihak kerajaan, khususnya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar meluluskan permohonan tersebut.

Pada saya, pihak pengusaha bas ekpress tidak sewajarnya mengambil sikap dan tindakan sedemikian yang jelas mencerminkan sikap terlalu mementingkan diri sendiri, tanpa ada rasa tanggungjawab sosial kepada rakyat dan negara.

Apalah salahnya, jika sekali-sekala ‘kurang untung’ akibat membantu rakyat dan negara. Sifat terlalu mementingkan keuntungan perlulah diredakan. Apatah lagi, 'budaya ugut-mengugut' seperti ini.
Bertimbang rasalah sebelum membuat apa-apa tuntutan, agar pihak – pihak tertentu tidak dizalimi. Baik pengusaha bas, pemandu mahupun rakyat jelata. Jika ini dapat dijadikan budaya dalam gerak laku ekonomi kita, Insha Allah kestabilan dan keamanan ekonomi dapat dinikmati secara lebih adil. Banyak pihak akan berpuas hati dan tidak menyanggahi antara satu sama lain.

Andaikata, kerajaan 'bersetuju' dengan tuntutan tersebut, inilah antara hasil bebanan kewangan yang bakal ditanggung oleh rakyat kebanyakan.

               Trip                                      : Kuala Lumpur ke Pasir Mas
               Harga sekarang                  : RM43
               Harga selepas 30%             : RM55.90

Cuba bayangkan, jika lapan orang sekeluarga yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bas tersebut untuk berulang alik sebanyak lima kali setahun .

               RM55.90 X 8 orang X 10 hala = RM4,472.00 (belum termasuk kos teksi dan makan minum)

Alamaknya, makin ramailah yang akan jarang balik ke kampung halaman masing-masing untuk menziarahi kedua ibubapa dan sanak saudara. Tambahan lagi, kenaikan gaji khususnya mereka yang berada di sektor swasta hanyalah sekitar 3 peratus hingga 6 peratus setahun. Itupun, tidak menentu. Kadang-kadang ada, kadang tidak ada.

Saya masih ingat lagi, lima belas tahun yg lalu ketika saya mula-mula bermujahadah mencari kehidupan di Kuala Lumpur harga tiket pada waktu itu hanya sekitar RM25 sahaja. Itupun, dalam keadaan tidak ada lambakan bas ekpress pelbagai jenama seperti hari ini!

Saya percaya, dalam konteks hari ini soal pengangkutan sudah termasuk dalam kategori 'dhururiyyat' (keperluan asas) yang perlu diberikan 'perhatian' secara serius dan telus oleh kerajaan, agar rakyat pelbagai lapisan dpt menikmati hak mereka yang selayaknya.

Justeru, diharapkan kerajaan tidak perlu terlalu 'tunduk' kepada tuntutan seperti itu. Namun, pada masa yang sama perlu juga memikirkan satu mekanisme yangg sesuai dan munasabah agar para pengusaha bas turut mendapat hak mereka yang selayaknya. Antaranya, dengan melaksanakan sistem secara tender terbuka untuk mengurus pengangkutan bas ekpress ke seluruh negara di bawah satu konsortium yang dikawal selia secara terus dan telus oleh pihak SPAD.

Akhir sekali, mana-mana pengusaha yang tetap berdegil perlu diberikan kata dua iaitu, ‘either take it or leave it’. Banyak lagi pihak yang berkelayakan dan mahu menguruskan perkhidmatan tersebut secara lebih professional dan telus.

Namun, ianya amat sukar dititik noktahkan, sekiranya unsur ‘kronisme dan nepotisme’ berakar umbi dalam projek-projek anugerah kerajaan..

 –Abdul Hadi Jusoh & Hashim Shiyuti, The Malaysian Insider

Wednesday, August 8, 2012

PENGGUNA, PMBOA TAK SETUJU TAMBANG BAS NAIK

Kuala Lumpur: Pengguna pengangkutan awam tidak bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) mahu tambang bas ekspres dan henti-henti dinaikkan.

PMBOA dalam memorandumnya kepada Kementerian Kewangan baru-baru ini mencadangkan kenaikan 30 peratus di Semenanjung dan 40 peratus di Sabah dan Sarawak.

Cadangan keterlaluan

Pengguna menyifatkan cadangan itu keterlaluan, sekalipun pengusaha bas mendakwa mengalami kenaikan kos operasi sejak empat tahun lalu.

Pesara kerajaan, M Ramanathan, 59, berkata kenaikan sehingga 40 peratus akan membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Saya tak setuju kerana kenaikan 30 peratus (di Semenanjung) diminta terlalu tinggi. Lagipun pengangkutan awam adalah satu keperluan asas”, katanya ketika ditemui di Hentian Bas Jalan Pekeliling, semalam.

Ramanathan dalam perjalanan ke Mentakab, Pahang, ditemani isterinya, C Selvarani yang turut tidak bersetuju dengan cadangan PMBOA.

Bebankan pelajar

Pengguna pengangkutan awam, Wan Alfi Rahmie Wan Makazan, 19, berkata kenaikan itu akan membebankan golongan pelajar sepertinya yang bergantung kepada bas henti-henti untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

“Tak adil macam ini. Kerajaan kena kaji betul-betul, kalau nak naik tambang sekalipun, jangan sampai 30 peratus, kata pelajar UiTM Jengka, Pahang. “

Kakitangan swasta, Soo Guen Eng, 44, berkata kenaikan tambang itu boleh dibuat secara munasabah dan bukannya tergesa-gesa bagi mengelakkan rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kos hidup sekarang sudah tinggi jangan ditambah beban rakyat. Kalau mahu kaji, kena buat ikut tahun dan bukan tergesa-gesa. Kalau kaji setiap dua tahun pun boleh tetapi kalau minyak turun tambang juga perlu turun, “ katanya mengulas cadangan PMBOA supaya kerajaan merangka formula kenaikan tambang automatik setiap dua tahun sekali.