KUALA LUMPUR - Institusi diraja
merupakan tonggak negara yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat
negara ini tidak kira apa pun pandangan politik, kaum dan agama.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan Dan
Sosio Budaya, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin M. Said
berkata, institusi tersebut adalah lanjutan sistem pemerintahan beraja yang
wujud di Tanah Melayu sebelum zaman penjajahan lagi.
"Institusi ini merupakan warisan
peradaban Melayu yang berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dengan cabang
Parlimen, eksekutif dan kehakiman menjalankan tugas masing-masing dengan
perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Namun sistem yang berjalan baik
dan diterima secara hakiki oleh generasi terdahulu hingga ke hari ini, mula
dikritik oleh golongan tertentu atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara yang
tidak boleh diterima sama sekali," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas kepentingan institusi diraja yang selama ini menjadi payung
kepada seluruh rakyat negara yang berbilang kaum dan agama di sini hari ini.
Tambahnya, kritikan yang bertujuan
menghina, merendah-rendahkan martabat raja tidak boleh diterima lebih-lebih
lagi orang Melayu.
"Golongan tertentu itu mula
memandang serong institusi ini dan mereka perlu kesedaran agar tidak menggugat
keamanan yang dikecapi hingga hari ini. Mereka telah menyalahguna kebebasan
bersuara dan demokrasi yang ada.
"Raja melindungi hak orang
Melayu, bumiputera, agama Islam iaitu agama Persekutuan dan hak-hak kaum lain
di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan," jelasnya.
Kamaruddin berkata, Yang di-Pertuan
Agong boleh menyampaikan pandangan yang rasional, menasihati dan meminta
sesuatu keputusan yang dibuat, dikaji semula mengikut Perlembagaan. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment