AKTA: JANGAN
GUBAL SESUKA HATI - TUN M
PUTRAJAYA - Undang-undang atau akta yang telah digubal dan dilaksanakan
dengan baik tidak perlu diubah sewenang-wenangnya kerana boleh mencetuskan
masalah kepada negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, undang-undang
yang telah dilaksanakan tidak sepatutnya ditukar sesuka hati ekoran desakan
mana-mana pihak kerana hanya akan mendatangkan keburukan.
Beliau berkata, rakyat negara ini hidup secara aman dan harmoni serta
saling hormat-menghormati antara satu sama lain sebelum ini kerana adanya
undang-undang dan akta tertentu yang dijadikan panduan.
"Namun, kini semuanya berubah apabila undang-undang tertentu
termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan sehinggakan ada pihak
yang berani menghina Islam.
"Mereka sekarang berani kata macam-macam kepada agama kita, dulu
perkara ini tidak pernah terjadi, bila tiada undang-undang sedemikian inilah
yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan
tertutup dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk
Ibrahim Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang hasrat kerajaan untuk mewujudkan undang-undang
baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu fikir secara mendalam sekarang untuk
melaksanakan Akta Keharmonian Nasional.
"Dulu ada macam-macam undang-undang dan akta, itu yang membuatkan
kita harmoni, sekarang bila undang-undang tiada, rakyat bebas," katanya.
Mengulas tentang pertemuan dengan Perkasa, Dr. Mahathir berkata,
pertemuan tertutup itu lebih kepada luahan rasa tidak puas hati pertubuhan itu
terhadap beberapa isu kebelakangan ini.
Dalam pada itu, diminta mengulas tentang Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA), Dr. Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan
langkah tersebut kerana khuatir negara akan menjadi mangsa pihak tertentu.
"Malaysia kena teliti sedalam-dalamnya sebelum menandatangani TPPA,
saya khuatir kita akan menjadi mangsa. Ini adalah cubaan Amerika Syarikat untuk
menguasai negara kita. Mereka sebenarnya takut kepada China, terbukti apabila
negara berkenaan tidak dijemput untuk menyertai TPPA," katanya. - Utusan Online
No comments:
Post a Comment