HINA
ISLAM: KENAKAN HUKUMAN PENJARA, DENDA TIDAK MEMADAI
IPOH - Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee perlu didakwa dan dikenakan
hukuman penjara sebagai pengajaran kerana mempersendakan bulan Ramadan dan umat
Islam di laman Facebook mereka.
Pengerusi Pertubuhan Rakan Prihatin Kebajikan Perak, S. Kumaravel
berkata, mahkamah tidak boleh hanya mendenda pasangan tersebut kerana mereka
sudah pasti mampu membayarnya, apatah lagi dengan sokongan daripada
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang anti-Islam dan orang Melayu.
"Tindakan mereka telah menghina Islam sebagai agama rasmi
Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama negara.
"Saya mahu kerajaan bertindak tegas. Tidak payah siasat lagi tetapi
terus dakwa dan jatuhkan hukuman penjara di mahkamah kerana sudah ada
bukti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Alvin dan Vivian mencetuskan kemarahan umat Islam apabila
mereka mengajak berbuka puasa dengan memakan bak kut teh (sup tulang babi).
Kedua-dua mereka memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 terhadap kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian sosial.
Kumaravel turut menyifatkan pasangan tersebut yang pernah mencetuskan
kontroversi aksi lucah sebagai tidak bertamadun dan tidak bermoral kerana tidak
tahu menghormati penganut agama lain.
Sementara itu, di Labis, Johor, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk
Chua Tee Yong menasihatkan orang ramai jangan mengambil kesempatan daripada isu
pasangan Alvin dan Vivian untuk mencetuskan suasana tegang dan menggugat
keharmonian kaum.
Menurutnya, perbuatan pasangan tersebut biadab dan melampau, namun
berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan.
"Mereka seharusnya sedar perbuatan itu bukan sahaja telah menggores
hati penganut agama Islam di negara ini malah boleh menggugat keharmonian kaum
serta dijadikan 'modal' oleh pihak tertentu untuk mencetuskan keadaan
huru-hara," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid
dalam kawasan Parlimen Labis sempena Ramadan di sini semalam.
Menurut Tee Yong, semua pihak harus memainkan peranan dalam memelihara
keharmonian serta persefahaman antara kaum yang telah diamalkan sejak sekian
lama.- Utusan Online
No comments:
Post a Comment