JOHOR BAHRU: Datuk Seri Najib Razak
semalam menggesa ekonomi Islam melakukan perubahan dengan memanfaatkan sumber
terbesarnya iaitu generasi muda tanpa mengorbankan tradisi, keseimbangan dan
pembangunan.
Perdana Menteri berkata, golongan
muda tidak seharusnya dilihat sebagai liabiliti, sebaliknya sebagai aset,
sumber yang belum diteroka bagi membolehkan negara membangun dan moden.
Perkara ini memerlukan kepada
kepemimpinan dan perubahan. Pertamanya, kita perlu memberikan fokus dalam
pendidikan. Kita perlu memberi penekanan bersungguh-sungguh dalam latihan
vokasional dan teknikal.
Begitu juga standard dan hasilnya
dalam memastikan bahawa pelajaran akan membuka peluang dan bukan menutupnya,
katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Dunia Kelapan
(WIEF) di Persada Johor, di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Comoros, Ikililou
Dhoinine; Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam; Pengerusi
Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dan Pengerusi Yayasan Forum
Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam.
Najib yang juga Penaung WIEF berkata,
apa yang generasi muda Muslim mahu adalah peluang dalam sektor ekonomi dan bagi
merealisasikan impian mereka, persekitaran ekonomi mapan berserta pendidikan
dan pembaharuan ekonomi perlu dibangunkan.
Katanya, ekonomi Islam juga mesti
memahami perubahan kedua terbesar dalam kehidupan generasi muda, iaitu
teknologi.
Generasi hari ini tidak memahami
sistem tertutup atau kerajaan satu hala. Mereka mengharapkan semua maklumat
adalah bebas, demokrasi menjadi responsif dan komunikasi menjadi global.
Mereka juga mahu memainkan peranan
penting dalam ekonomi digital dan jika tidak berpuas hati, mereka tidak
teragak-agak untuk memberitahu dunia, katanya sambil menambah negara Islam juga
perlu membuka minda terhadap peluang yang ada dalam era ekonomi digital,
menggalakkan kesederhanaan dan toleransi.
Perdana Menteri berkata, kerajaan
dunia Islam juga perlu bersedia melabur untuk generasi muda termasuk wanita dan
meletakkan keyakinan terhadap mereka untuk terbabit dan turut serta dalam
sektor ekonomi sepenuhnya.
Katanya, segala perubahan dilakukan
itu akan dapat membantu memanfaatkan sepenuhnya generasi muda yang menjadi
antara sumber dan aset terpenting negara.
Sebagai negara membangun, Malaysia
amat komited untuk pembaharuan ekonomi dan sudah pun berdepan beberapa pilihan
sukar sebelum ini. Kita tahu kita mesti memperbaiki penyampaian perkhidmatan
awam dan menawarkan peluang baru bagi memastikan ia memenuhi kehendak rakyat,
katanya.
Pada 2010, kira-kira 60 peratus
daripada penduduk dunia Islam berusia bawah 30 tahun dan menjelang 2030,
masyarakat Islam akan merangkumi 26 peratus daripada penduduk dunia yang mana
60 peratus daripada jumlah itu berusia di bawah 30 tahun. -BHarian
No comments:
Post a Comment