TENDER AES DIBUAT SECARA TELUS - KP JPJ
Menurutnya keseluruhan proses
mengambil masa hampir lapan tahun dan membabitkan banyak pihak sebelum AES
dilaksana di 14 lokasi pada 23 September lalu.
Solah yang mengeluarkan kenyataan
bagi mengulas dakwaan antaranya pelaksanaan AES dibuat secara tergesa-gesa dan
tidak mengikut tender, juga berkata pihaknya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya
telah menghantar pegawai kanan ke beberapa negara yang menggunakan teknologi
itu pada 2005.
Antara negara terbabit ialah Korea
Selatan, Australia, Amerika Syarikat serta Switzerland dan hasil lawatan
dimaklum kepada kerajaan pada Disember 2005, yang kemudiaannya bersetuju
melaksanakan AES, katanya.
Kerajaan kemudian menubuhkan satu
jawatankuasa pemandu untuk meneliti keperluan pengguna, kaedah perolehan dan
pelaksanaan projek dengan dibantu lima jawatankuasa kerja, katanya.
Syarikat terbabit ialah Commercial
Circle (M) Sdn. Bhd. (ATES Sdn. Bhd.)(dengan robot dari Jerman); Beta Tegap
Sdn. Bhd. (dengan Redlex dari Australia); TESS CAPITAL Sdn. Bhd (dengan
Poltaich dari Australia); Tricubes Berhad (dengan SAGEM dari Perancis);
Precision Hawk Eye (M) Sdn. Bhd. (dengan Sianco Traficco dari Sepanyol),
Acropolis Avenue Sdn. Bhd. (dari China); Neza teguh Sdn. Bhd. (dengan Sensys
dari Sweden); Tenix Solutions Pte. Ltd. (dengan Tenix dari Australia dan
Hyundai Information Technology dari Korea.
Solah berkata daripada jumlah itu
hanya Tenix Solutions Pte. Ltd. dan Hyundai Information Technology Co. Ltd
tidak mengemukakan cadangan teknikal manakala tujuh mengemukakan cadangan
teknikal melalui wakil syarikat tempatan masing-masing.
"Selepas penilaian teknikal,
hanya enam daripada tujuh syarikat menyertai ujian 'live demonstration',
manakala satu syarikat menarik diri. Ujian itu mengambil masa lebih sebulan di
Putrajaya, Shah Alam dan Lebuhraya Guthrie pada Jun hingga Julai 2007.
"Ia melibatkan demonstrasi
keupayaan sebenar sistem yang ditawarkan oleh pembekal teknologi dalam mengesan
kesalahan melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju, khususnya
kadar pengesanan kesalahan dan ketepatan pengesanan," katanya.
Solah berkata sebanyak 43 senario
pelanggaran peraturan had laju dan lampu isyarat yang biasanya berlaku di jalan
raya telah diuji dengan sebanyak 63,640 imej dikeluarkan hasil ujian berkenaan.
Katanya kriteria terpenting dan
kritikal yang dinilai adalah imej yang dirakam mesti berupaya dijadikan bahan
bukti di mahkamah.
Daripada penilaian itu, Solah berkata
hanya dua pembekal teknologi melepasi kelayakan teknikal oleh Jawatankuasa
Teknikal yang dianggotai antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam
Negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kehakiman, Kementerian Kerja Raya
dan Jabatan Peguam Negara.
Dua syarikat itu ialah Redflex
Traffic System Ptd. Ltd. yang diwakili oleh Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Robot
Visual System yang diwakili oleh ATES Sdn. Bhd.
Solah berkata pada Februari 2008,
kerajaan bersetuju dengan Laporan Penilaian Teknikal dan kedua-dua syarikat
diminta mengemukakan cadangan kewangan.
"Selepas beberapa siri rundingan
antara kerajaan dan syarikat, termasuk persetujuan formula bayaran fi perkhidmatan,
kerajaan pada 9 Disember 2011 telah menandatangani perjanjian dengan kedua-dua
syarikat.
"Ini bermakna pemilihan dan
pelantikan kedua-dua syarikat dibuat melalui proses tender dan tidak dilakukan
tergesa-gesa," katanya. – BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment