Showing posts with label undang-undang. Show all posts
Showing posts with label undang-undang. Show all posts

Tuesday, September 10, 2013

PERLU UNDANG-UNDANG BERI POLIS LEBIH KUASA - MUSA HASSAN

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mencadangkan agar undang-undang baru menggantikan Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan pada 2009 memberikan lebih kuasa kepada polis untuk membendung jenayah dengan lebih berkesan.

Menurutnya, undang-undang pencegahan sedia ada tidak cukup ‘taring’ termasuklah Akta Pencegahan Jenayah (PCA)  1959 kerana bidang kuasa yang terhad untuk menahan penjenayah.

“Undang-undang sedia ada hanya untuk menahan mereka, undang-undang tersebut tidak kuat.

“Oleh sebab itu,saya nyatakan adalah penting untuk pihak polis diberikan undang-undang yang lebih holistik, untuk menangani masalah ini," katanya ketika sesi wacana anjuran Sinar Harian ke-23 yang mengupas tajuk, Polis Hilang Sengat: Apa Selepas E0.

Wacana Sinar Harian ini membariskan panel yang terdiri daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Tan Sri Zaman Khan dan tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin serta  dikendalikan oleh penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.

Sementera itu, dalam masa yang sama, beliau menegaskan rakyat Malaysia harus mengubah persepi mereka yang mengatakan undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan bersifat zalim dan menindas.

“Undang-undang tersebut diwujudkan adalah sebagai langkah pencegahan, bagi mengawal negara supaya berada dalam keadaan aman dan stabil, bukannya undang-undang zalim.

“Persepsi ini perlu diperbetulkan supaya masyarakat faham tujuan undang-undang itu diwujudkan,” tegasnya.


Sumber: Sinar Harian

Monday, July 1, 2013

ISU TUKAR AGAMA ANAK: JANGAN PERTIKAI UNDANG-UNDANG ISLAM

SHAH ALAM –Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntuk persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk tukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam tidak boleh dipertikaikan.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd WahidMufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata, keputusan Kabinet bahawa agama kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak tidak boleh diguna pakai kepada penganut Islam.

“Dari segi hukum hadanah (penjagaan anak), anak bawah umur asalnya adalah di bawah penjagaan ibu. Namun, dalam isu berlainan agama, anak itu perlu mengikut agama ibu atau bapanya yang Islam.

“Misalnya, jika si bapa memeluk Islam, tetapi si ibu tidak, maka agama anak mereka yang di bawah umur akan mengikut si bapa,” katanya.

Katanya, ia dibincang Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Isu agama tidak boleh dipertikaikan. Undang-undang ini perlu dikekalkan bagi memastikan martabat Islam berada di kedudukan sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam merupakan agama rasmi dan negara ini terikat dengan undang-undang Islam.

“Peruntukan menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam yang memerlukan persetujuan salah seorang ibu bapa sudah dipakai sejak sekian lama. Mengapa perkara ini dibangkit sekarang?

“Undang-undang itu dibuat berdasarkan undang-undang Islam dan tidak boleh dipertikai,” katanya. - Sinar Harian

KD: Pertikaian yang meragukan.. apakah usul yang diutarakan oleh pemimpin pakatan ini memberi maksud bahawa mereka masih tidak faham atau sengaja tidak faham bahawa Islam adalah agama rasmi negara? 

Monday, June 17, 2013

TELITI UNDANG-UNDANG INTERNET UNTUK DIKUATKUASA DI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ramai yang setuju supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baru atau mengemaskini undang-undang sedia ada.

Namun, ramai juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat negara ini juga perlu diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang Internet di Barat perlu diteliti sebelum boleh digunapakai.

Sensitiviti kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti, namun mereka masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi.

Masyarakat negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.

“Contoh lain, jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan tuduhan (jika fitnah itu palsu) dan jika mereka yang buat fitnah didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman,” katanya.

“Namun perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah atau perihal Akta Hasutan.”

Beliau berkata, seharusnya kebebasan bersuara perlu datang dengan rasa tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga Negara – Amerika Syarikat, Britain dan Australia – dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri.

Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.

Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara.

Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya.

Tumpuan sekatan terutamanya kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram yang lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.

Di Britain pula penapisan Internet termasuk menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak.

Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.

Sesuaikan dengan budaya

Azizul berkata, negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai undang-undang yang hampir sama dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013 Britain (yang baru) namun negara tersebut lebih cekap dan pantas mengambil tindakan kerana telah lama melaksanakannya.

Di Malaysia sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan realiti sehingga tidak tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.

Jadi cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan jangan bertolak ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah kerana kalau tidak dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan boleh menjadi huru-hara, katanya.

Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA, Dr. Norbaiduri Ruslan berkata rakyat di Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak mereka termasuk mementingkan kebebasan dan privasi di tahap yang tertinggi.

“Kita masih belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini),” katanya. “Bila kita sudah sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan tahu jaga perilaku kita di alam maya dan realiti.

“Kempen kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang bagaimana cara menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana ketika ini terlalu banyak pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat spiritual, personaliti dan lemah psikologi.

“Jika kita terlalu ingin sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita,” katanya.

Didik rakyat Malaysia

Norbaiduri berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada.

Pengamal Undang-Undang, Khairul Azam Abd Aziz berkata, seseorang penulis termasuk dalam dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman.

“Kalau penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu gugat ketenteraman awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi,” katanya.

Seorang blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata, kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media demi masa depan generasi mendatang.

“Penyalahgunaan media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak terkecuali. Apabila orang dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa usul periksa semata-mata kerana menaruh perasaan geram, ia akan menjadi ikutan.

“Di peringkat kanak-kanak akan timbul masalah pembuli siber,” katanya. – Bernama/The Malaysian Insider

Friday, June 7, 2013

UNDANG-UNDANG INTERNET, SKMM DIGESA KAJI PENGGUNAAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengkaji aspek penggunaan internet di negara ini secara holistik, termasuk keperluan dan kesesuaian mewujudkan undang-undang tertentu untuk mengawalnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu akan diteliti secara rasional, tidak terburu-buru tanpa membabitkan tempoh masa, dan bukan berdasarkan pertimbangan atau perspektif politik.

Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu sensitif dengan segelintir kandungan online berbaur politik yang melakukan penyalahgunaan atas tujuan tertentu, sebaliknya perlu melihat kegunaan internet secara menyeluruh, termasuk untuk kepentingan perniagaan, mempromosi negara dan perkongsian maklumat serta pendapat dalam pelbagai bidang.

Kawal internet
Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata, kajian SKMM juga akan mengambil kira langkah negara lain seperti Australia dan United Kingdom yang walaupun mengamalkan dasar liberal, tetap melaksanakan inisiatif kawalan terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada pornografi serta mengelak ancaman pengganas.

“Kita akan pantau perkara ini. Ada sesetengah perkara itu tidak perlu kita buat undang-undang seperti di Singapura. Undang-undang yang ada sudah memadai... boleh gunakan akta sedia ada, tidak semestinya kita kena buat satu peraturan perlesenan untuk tujuan itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Pantau sebelum contohi Singapura

Mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, yang menggesa kerajaan mencontohi langkah Singapura mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara ini, Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu terlebih dulu memantau keberkesanan tindakan Singapura itu, memerhati pelbagai aspek yang masih kabur berhubung pelaksanaan berkenaan, selain mengenal pasti sama ada ia dianggap suatu kaedah untuk menyekat kebebasan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan, paling penting dalam konteks ini ialah rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri, lebih bertanggungjawab dan bijak dalam memanfaatkan kemudahan internet, termasuk tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam, atau terperdaya dengan pembohongan.  –Berita Harian

Friday, July 13, 2012

AKTA KEHARMONIAN HARUS BERI RUANG KEBEBASAN BERSUARA

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional dialu-alukan oleh banyak pihak dengan harapan akta baharu itu akan terus melindungi asas kebebasan rakyat di negara ini.

Mereka juga mengalu-alukan jaminan bahawa rundingan dengan pihak berkepentingan akan dilaksanakan dalam menggubal undang-undang baharu kerana ia adalah penting bagi memastikan demokrasi negara ini adalah benar-benar inklusif dan serta sama.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, keputusan itu adalah ke arah yang betul dan meminta peruntukan yang selaras dengan keperluan masa kini.

"Saya harap pengumuman tersebut akan membawa kepada ruang kebebasan bercakap dan bersuara yang lebih luas dan diperlukan," katanya dalam kenyataan di sini.

Karpal berkata, adalah penting bahawa akan ada maklum balas daripada orang awam sebelum Akta Keharmonian Nasional digubal oleh Parlimen.

"Orang awam mempunyai hak untuk menyertai dalam proses yang membawa kepada laluan akta ini yang tidak perlu termasuk pengulangan sebarang seksyen yang zalim tidak selaras dengan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee pula berkata, undang-undang baharu harus setakat mana yang boleh daripada menjenayahkan ucapan dan idea dan tidak terburu-buru untuk memperkenalkan kesalahan jenayah.

Beliau juga menegaskan bahawa perkara seperti kesetiaan, saling menghormati dan perpaduan negara tidak boleh digubal.

"Ini adalah idealisme yang dibangunkan secara beransur-ansur dan dipupuk secara semulajadi dan bukan dituntut oleh kuasa undang-undang secara serta-merta," katanya sambil menambah, Majlis Peguam akan terus memberikan pandangan yang berhati-hati dan maklum balas dalam pengisytiharan undang-undang baharu itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam berkata mereka menghargai dan menyokong usaha-usaha pembaharuan demokrasi dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan di negara ini.

Beliau berkata, suruhanjaya itu berharap untuk melibatkan diri dengan Pejabat Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain dalam penggubalan undang-undang baharu bagi menangani kebimbingan tertentu.

Suhakam berharap akta baharu itu akan digubal dalam cara yang telus bagi memastikan ia selaras dengan prinsip asas hak asasi manusia, katanya.
 
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, akta baru itu akan mengikut acuan Malaysia yang tersendiri tanpa terikut dengan akta seumpama dari negara lain.

Tsu Koon, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perpaduan dan pengurusan prestasi berkata, nama 'keharmonian' itu sendiri sudah nyata bahawa akta itu akan disesuaikan secara menyeluruh dengan latar belakang Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama.

"Ini merupakan satu lagi transformasi yang dijalankan kerajaan bagi menjaga rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya. - Bernama

KD: Bagaimana agaknya Akta Keharmonian itu ye? Pasti ramai yang tertunggu-tunggu. Kedengaran namanya sahaja sudah gembira dan harmoni rasanya. Harap akta itu nanti menggembirakan dan memuaskan hati semua pihak.