MAT SABU SURUH KDN
CARI BUKTI TERLIBAT SYIAH
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata,
tidak ada keperluan untuk dirinya membuktikan bahawa beliau bukan pengamal
ajaran Syiah, sebaliknya mereka yang menuduhnya lah perlu mengemukakan bukti
sahih bagi mengaitkan dirinya dengan fahaman itu.
Malah katanya, meminta orang yang dituduh mengemukakan bukti
bagi menafikan dakwaan ke atas dirinya juga bukan suatu amalan di negara ini.
"Bukti mesti dari yang menuduh... itulah amalan di
Malaysia," ujarnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar
Harian Online.
Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu
semalam digesa mengemukakan bukti bahawa dirinya tidak terlibat dengan fahaman
Syiah.
Penolong setiausaha bahagian keselamatan dan ketenteraman
awam KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu juga perlu berhujah
secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN Khamis lalu.
"... tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan
KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar," katanya.
Beliau yang dipetik Mingguan Malaysia hari ini berkata,
individu terdekat dan rapat dengan Mat Sabu turut menyatakan kesediaan untuk
menjadi saksi mahkamah jika diperlukan.
"Ada yang 'sekapal' dari sudut politik, ada juga
pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut,
orang yang berkawan dengannya, yang jadi 'anak buah' dia.
"Mereka menyaksikan apa yang dia cakap, buat dan
libatkan aktiviti-aktiviti berkaitan Syiah.
"Mereka juga pernah bersama-sama dia ke Iran dan
menghadiri mesyuarat-mesyuarat kumpulan Syiah," katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari
ini memberitahu, 10 bukti yang didedahkan kementeriannya sebelum ini hanyalah
bukti gred B.
Ujarnya, KDN akan menyerahkan semua bukti yang mengaitkan
orang nombor dua Pas itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk
tindakan lanjut.
"Segala bukti termasuk bukti gred A akan diserahkan
kepada Jakim kerana kami (KDN) terlibat soal keselamatan manakala soal akidah
kita serah kepada pihak berkuasa agama," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh, hari ini.
Antara lain bukti yang didedah kementerian itu Khamis lalu
ialah Mat Sabu didakwa menghadiri kelas agama anjuran dua pemimpin Syiah di
Bukit Merah pada 2011 dan sering menyatakan rasa kagumnya terhadap pentadbiran
pemimpin Syiah di Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.
No comments:
Post a Comment