SHAH ALAM – Kerajaan disaran melakukan penjimatan dalam
urusan perbelanjaan jika mahu mengurangkan subsidi barangan serta perkhidmatan.
Ketua Eksekutif Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi
(IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin kerajaan digesa melakukan perkara itu demi keadilan rakyat
yang terpaksa menanggung beban kenaikan harga barangan secara mendadak
disebabkan tindakan itu menjelang 2014.
“Rakyat memang ada hak
yang sangat kuat untuk rasa tidak senang hati dengan kenaikan harga
barangan disebabkan pengurangan subsidi berkuat kuasa tahun depan.
“Pastinya rakyat marah dan kecewa dengan tindakan itu yang
pada masa sama pemimpin sendiri tidak berusaha untuk kurangkan perbelanjaan
kerajaan,” katanya.
Menurut Wan Saiful, kerajaan boleh mengambil inisiatif
mengurangkan perbelanjaan dengan penjimatan kos guna elektrik di semua jabatan
kerajaan termasuk kos perjalanan pemimpinnya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan
Pandian berkata, kerajaan harus menilai dan menimbang semula keputusan
tersebut.
Menurutnya, sebolehnya pengurangan subsidi perlu dilakukan
secara berperingkat termasuklah kenaikan kadar tol baharu diumumkan kelmarin,
agar tidak terlalu membebankan rakyat.
“Kerajaan terlebih dahulu perlu mendidik masyarakat menjadi
rasional dengan kenaikan itu, supaya lebih bersedia.
"Tambahan kenaikan semua barang tersebut ada kaitan
dengan rakyat di mana akan beri impak besar kepada perkara lain,” katanya,
semalam.
Beliau berkata, pengurangan kadar tol juga pastinya memberi
kesan kepada pengundi bandar terutama Kuala Lumpur terhadap sokongan mereka
kepada BN.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment