KENAIKAN KADAR TOL: RAKYAT
UMPAMA ‘SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA’
SHAH ALAM -Peribahasa ‘ibarat sudah jatuh ditimpa tangga’ sesuai
untuk situasi rakyat yang semakin terhimpit dengan kesan kenaikan yang bakal
dialami pada 2014, kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Dr Maamor Osman.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kerajaan yang
bakal menaikkan kadar tol di 13 lebuh raya terlibat susulan perjanjian konsesi
yang menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.
“Apabila mendengar kenaikan tol ini, saya tidak terkata
lagi. Baharu sahaja rakyat dikhabarkan kenaikan tarif elektrik, gula, minyak,
ini tol pula.
“Kita rakyat susah mahu faham dengan tindakan kerajaan
kerana setiap kali yang diumumkan syarikat konsesi mendapat keuntungan
berganda, kerajaan juga mendapat pulangan baik, tapi rakyat yang susah akhirnya
dengan kadar tol dinaikkan,” katanya.
Kata beliau, jika kerajaan mahu menaikkan harga tol, namun
tahap prestasi jalan dan ciri-ciri keselamatan masih ditahap yang sama,
pastinya amat tidak bermakna bagi rakyat.
“Kalau sepanjang jalan di lebuh raya dengan kelajuan 110km,
contohnya hanya sejam sahaja boleh sampai ke Melaka dari Kuala Lumpur, mungkin
rakyat tidak akan berkira.
“Tapi kalau bayar tol, jalan tetap sesak dan ciri
keselamatan tidak diendahkan apa guna bayar tol yang mahal-mahal,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya jika sekalipun kenaikan kadar tol
tidak dapat dielakkan, kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi
perjanjian antara syarikat konsesi supaya tidak berlaku perjanjian berat
sebelah.
“Ini penting, kerajaan perlu semak kembali perjanjian itu
supaya tidak berlaku tindakan kurang cerdik daripada pihak mereka semasa
menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi.
“Kita tidak mahu berlaku berat sebelah, mungkin masa
tandatangan itu, diambil kira jumlah kereta yang lalu hanya berapa dan sekarang
pula sudah berapa jumlah kereta yang melalui lebuh raya itu,” kata beliau.
Sehubungan itu, kerajaan disaran lebih bijak menguruskan
ekonomi dengan mengutamakan rakyat supaya tidak terkesan berikutan penarikan
subsidi dan kenaikan harga barangan.
“Rasanya di setiap lebuh raya ada papan iklan yang pastinya
mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Ini belum lagi termasuk dengan gerai
di kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya
kepada pengguna, pastinya mendapat keuntungan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
KD: Berikut adalah jadual kadar baru tol yang dijangkakan akan
berkuat kuasa pada tahun hadapan :-
LEBUHRAYA SUNGAI BESI BESRAYA - RM1.30 kepada RM2.00
LEBUHRAYA BARU PANTAI (NPE) - RM1.60 kepada RM2.00
LEBUHRAYA DAMASARA/PUCHONG (LDP) - RM1.60 kepada RM2.10
LEBUHRAYA BERTINGKAT AMPANG (AKLEH) - RM1.50 kepada RM2.50
LEBUHRAYA KAJANG (SILK) - RM1.00 kepada RM1.30
LEBUHRAYA KL-PUTRAJAYA (MEX) - RM2.50 kepada RM3.50
LEBUHRAYA KAJANG-SEREMBAN (LEKAS) - RMRM1.90 kepada RM2.30
LEBUHRAYA TRAFIK KL BARAT (SPRINT) - RM1.50 kepada RM2.50
PANTAI - RM1.50 kepada RM2.50
DAMANSARA - RM1.00 kepada RM1.50
KIARA - RM2.00 kepada RM3.00
LEBUHRAYA LEBAH KLANG SELATAN (SKVE) - RM14.96c/KM kepada
16.46c/KM
LEBUHRAYA KORIDOR GUTHRIE (GCE) - RM1.40 kepada RM1.90
LEBUHRAYA SMART - RM2.00 kepada RM3.00
Sumber: http://www.guatv.com/
No comments:
Post a Comment