Showing posts with label bendera. Show all posts
Showing posts with label bendera. Show all posts

Monday, June 24, 2013

BLACK505: KIBAR BENDERA MERAH PUTIH, PIHAK BERKUASA PERLU BERTINDAK TEGAS

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak mengibarkan bendera merah putih sewaktu perhimpunan haram di Padang Merbok di sini semalam.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, tindakan biadab itu memperlihatkan mereka seolah-olah tiada semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia.

"Perbuatan mereka amat memalukan kerana telah mencapai tahap mencabar kedaulatan negara dan martabat rakyat.

"Mereka sepatutnya mengenang jasa pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air sebelum bertindak mengikut perasaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar melaporkan perhimpunan haram tajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merbok di sini sekali lagi menyaksikan kebiadapan beberapa penyokong pembangkang mengarak bendera merah putih yang dikaitkan dengan usaha menukar Jalur Gemilang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom beranggapan perbuatan tidak bermoral tersebut semakin menjadi-jadi berpunca daripada undang-undang yang tidak tegas.

"Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dan segera menahan individu yang terlibat. Mereka harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan," katanya. – Utusan Online

KD: Siapa sebenarnya mereka ini? Sehingga sanggup mengagungkan bendera negara lain..

Wednesday, September 5, 2012

ISU TUKAR BENDERA: KDN MAHU INSIDEN MALAM AMBANG MERDEKA DIBENDUNG

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan kejadian mengibar bendera baharu sebagai ganti Jalur Gemilang pada Khamis lepas sebagai perbuatan yang mencabar kedaulatan negara.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata jika tidak dibendung, perbuatan sedemikian boleh menyemai rasa benci dalam kalangan masyarakat sekali gus menjejaskan kepentingan awam.

"Masyarakat perlu faham apa yang berlaku adalah bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Beliau berkata KDN komited untuk memastikan tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Perbuatan mengibar bendera baharu yang dikatakan 'pengganti' Jalur Gemilang itu dilakukan segelintir peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika malam ambang Hari Kemerdekaan ke-55 negara.

Sementara itu, di KUANTAN, beberapa badan bukan kerajaan mengutuk perbuatan tersebut dan membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan segera bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Mereka terdiri daripada Wira Perkasa Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kelab Belia 4B, Majlis Belia Daerah Kuantan dan Kelab Bell Belia Tamil Kuantan (KBBT).

Ketua Wira Perkasa Pahang Ezad Zainal berkata tindakan mengibar bendera baharu itu seolah cubaan menghidupkan kembali puak berhaluan kiri yang mahu menukar negara ini kepada kerajaan republik pada 1947.

"Ini bukan soal politik tetapi soal cintakan negara. Bendera yang mereka pamerkan itu seakan sama dengan bendera yang dikibarkan oleh puak berhaluan kiri dahulu antaranya MPAJA yang sinonim dengan komunisme," katanya kepada pemberita, di sini.

Pengerusi KBBT M. Thiagaselan pula berkata mereka yang terlibat mungkin dijadikan boneka oleh sesetengah pihak.

"Polis perlu menjalankan penyiasatan yang menyeluruh dan mengenal pasti siapa dalang sebenar di sebalik kejadian berkenaan dan mereka inilah yang sewajarnya dikenakan tindakan seperti dilucutkan kerakyatan," katanya. –BERNAMA/MStar

Tuesday, September 4, 2012

TUKAR BENDERA BUKAN KERJA AMK?

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak bertanggungjawab terhadap dakwaan cubaan menukar dan menghina Jalur Gemilang semasa ambang Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya mana-mana pihak mahu mengibar bendera merah putih yang dinamakan Sang Saka Bangsa sebagai ekspresi perkembangan sejarah negara.

"Bendera itu direka oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Mohd Najwan Halimi pada 2007, ketika itu dia belum menyertai PKR. Jadi apa yang dilakukan pada tahun itu tak harus dikaitkan dengan PKR.

"Saya percaya itu adalah pandangan dan manifestasi beliau sebagai seorang anak muda yang ingin membuat penilaian sejarah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Mengulas mengenai pendirian sebenar sayap PKR itu, Shamsul dengan tegas menyatakan cadangan untuk menukar bendera bukan menjadi agenda mereka.

"Apa yang penting pendirian kita jelas, kita tidak akan tukar bendera. Tapi kalau nak kibar...kita tak ada masalah.

"Kita tak boleh halang ekspresi mereka kerana apa yang dilakukan hanya berlandaskan sejarah," katanya.

Pada 30 Ogos lalu negara dikejutkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa peserta Janji Demokrasi yang mengibarkan bendera yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang sekiranya pembangkang berkuasa.

Selain dikibarkan di khalayak ramai, beberapa riasalah juga diedarkan semasa sambutan ambang merdeka itu yang mengajak rakyat untuk mengatakan 'tidak' kepada Jalur Gemilang dan menyokong bender merah putih itu.

Ketika ditanya mengenai penyebaran risalah berkenaan, Shamsul bagaimanapun berdolak dalik mengenai kewujudan risalah yang turut mengandungi logo merdeka pembangkang dengan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

"Saya tak dapat salinan (risalah). Kalau ada boleh tunjuk. Saya tak tahu ada risalah yang dibuat. Apa yang saya tahu hanya gambar, bukannya risalah," katanya.

Ditanya mengenai tindakan polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tindakan menghina Jalur Gemilang, Shamsul berkata: "Tak ada asas untuk tahan mereka.

"Kami menyokong kumpulan orang muda yang berani untuk menyatakan pendirian dan pendapat mereka berdasarkan asas sejarah yang kukuh, jangan serang mereka dengan ugutan." -MStar