Perubatan
Islam mendapat pengiktirafan daripada kerajaan apabila Kementerian Kesihatan
bersetuju memasukkan amalan perubatan alternatif tersebut di bawah Rang
Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012.
Menterinya,
Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, notis menambah perubatan Islam itu dibuat
selepas kementerian mendapat persetujuan daripada Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) dan semua jabatan agama Islam negeri.
"Sebelum
ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana belum mendapat persetujuan
Jakim. Selepas ini, pengamal perubatan Islam termasuk bomoh perlu mendaftar
menerusi majlis yang akan ditubuhkan," katanya ketika membaca rang
undang-undang itu buat kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam,
Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd.
Fauzi Mustaffa meminta kementerian memasukkan perubatan Islam dalam rang
undang-undang tersebut berikutan semakin ramai masyarakat beralih kepada
perubatan alternatif Islam.
Menurut Tiong
Lai, rang undang-undang tersebut digubal untuk memastikan amalan perubatan yang
dijalankan di negara ini selamat dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.
Katanya, di
bawah rang undang-undang itu, pihak kementerian dengan kerjasama Jakim akan
memantau proses pendaftaran pengamal perubatan sama ada Islam, tradisional
Melayu, Cina mahupun India di bawah satu majlis yang akan ditubuhkan kelak.
Jelasnya,
mana-mana pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari
arahan pendaftaran tersebut boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga
RM50,000 atau penjara selama dua tahun.
Malah, beliau
memberi jaminan bahawa hampir 15,000 pengamal perubatan tradisional dan
komplementari yang terdapat di negara ini tidak akan terlepas daripada tindakan
tegas sekiranya didapati menipu dan melanggar undang-undang berkenaan.
Dalam pada
itu, tambah beliau, kementerian juga telah melancarkan dasar kebangsaan dalam
bidang perubatan tradisional dan komplementari bagi membolehkan ia disepadukan
dengan yang moden demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
"Di
Malaysia, permintaan terhadap perubatan ini semakin meningkat dan pada masa
sama kementerian juga menerima banyak aduan berhubung perkara ini, selain
sering digemparkan dengan berita negatif mengenai pengamalnya," katanya.
Sementara itu,
beliau memberitahu, setakat ini 10 hospital kerajaan menjalankan program
integrasi menawarkan perubatan moden dan tradisional.
Hospital
tersebut ialah Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail
(Johor Bahru), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu),
Hospital Duchess of Kent (Sandakan) dan Hospital Umum (Sarawak).
Di samping
itu, turut menawarkan kedua-dua perubatan itu ialah Hospital Sultanah Bahiyah
(Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron
Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu). –Utusan Online
No comments:
Post a Comment