PAS masih gagal dan keliru untuk menyatakan parti sama ada
memperjuangkan prinsip parti, atau terus mengikuti telunjuk parti komponen
pakatan pembangkang, dalam falsafah perjuangan politik mereka, kata Naib
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Pendapat
mereka (Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Datuk Dr Haron Din) jelas
memperlihat PAS telah lari dari landasan perjuangan asas sebagai parti yang
berlandaskan Ad-din itu falsafah perjuangan. "Ini membuktikan terdapat
kumpulan dalam PAS mahu kembali kepada perjuangan asal parti itu sekaligus
menunjukkan hakikatnya ada kumpulan yang taksub dalam PAS dan tidak mahu terima
apa yang berlaku ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen
pada Selasa.
Beliau
mengulas kenyataan Sasterawan Negara Shahnon yang juga anggota seumur hidup
PAS, bahawa perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam
apabila parti itu bekerjasama dengan DAP.
Laporan
Bernama semalam memetik Shahnon yang antara lain berkata apa yang dilakukan PAS
sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu
bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam
memperjuang Islam.
Shahnon
berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti
yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW
ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.
Ahmad Zahid
turut mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang
meminta mana-mana pihak tidak mengaitkan PAS dengan tindakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim melancarkan buku tulisan bekas anggota Parlimen India, Mobashar Jawed
Akbar yang berfahaman liberal.
Haron turut
meminta semua pihak agar tidak menganggap tindakan ketua pembangkang itu yang
seakan-akan bersekongkol dengan individu seperti Mobashar sebagai sesuatu yang
direstui PAS.
Ahmad Zahid
yang juga Menteri Pertahanan berkata situasi yang melanda senario perjuangan
PAS kini membuktikan apa yang dibuat oleh pembangkang hanya untuk agenda
politik masing-masing dan bukan memperjuang dasar sesebuah parti.
Dalam pada
itu anggota Parlimen Bebas Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Nordin berkata
sudah tiba masanya anggota akar umbi PAS bangkit dan mendesak pimpinan parti
mereka untuk mengadakan muktamar khas membincangkan situasi ini.
Jelasnya
ini supaya kepimpinan pusat menyatakan pendirian mereka sama ada mahu
bersekongkol dengan DAP mahupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atau
kembali kepada perjuangan parti.
"Pemikiran
Anwar adalah liberal, pluralism dan mengikut jumud ulamak ia sesat dan perlu
dibanteras. Kalau kenyataan Timbalan Mursyidul PAS sendiri tidak diterima,
kenyataan siapa lagi perlu diterima. "Haron Din sendiri sudah membuat
garisan mufarakah (garisan perpisahan) dan nyatakan pendiriannya. Ini ditambah
dengan kenyataan Shahnon Ahmad...jadi pandangan-pandangan sebegini harus
diambil kira," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob
berkata, situasi ini akan ditentukan oleh Majlis Syura PAS supaya ia dapat
dibincangkan dan mendapat kata putus sebelum boleh dijelaskan kepada anggota
parti.
"Biar
Majlis Syura yang tentukan prinsip dan pendirian dalam hal ini. Apa yang Majlis
Syura tentukan, ahli parti terima. Kita tidak pasti itu pendirian parti atau
pendirian peribadi (kenyataan Haron Din dan Shahnon Ahmad)," katanya.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Khalid Abdul Samad pula membidas kenyataan
Shahnon itu yang melabelkan perjuangan politik PAS tidak lagi menepati kehendak
Islam.Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam berkata segala ketetapan
dasar dan perjuangan parti perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS.
"Nak
tahu sesuatu itu bercanggah dengan kita atau tidak, kena rujuk majlis ulama
(syura). PAS ada 12 ulama, mereka adalah yang terbaik dalam kalangan anggota
PAS," katanya.
"Itu
pandangan peribadinya, malah semasa beliau (Shahnon) bertanding pada 1999 dulu,
PAS sudah pun berada dalam barisan alternatif," katanya. –BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment