KUALA
LUMPUR 10 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga strategi bagi
memastikan Dasar Pandang ke Timur yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad sejak 30 tahun lalu mampu mencipta lebih banyak kejayaan.
Menurut
Perdana Menteri, untuk itu pemerolehan kemahiran, pengetahuan dan nilai menjadi
paksi utama kepada kelangsungan dasar berkenaan.
''Pertamanya,
saya ingin melihat syarikat-syarikat Malaysia berkerjasama dengan lebih banyak
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun bagi menggerakkan ekonomi negara ke
depan. PKS negara itu juga diharap dapat memainkan peranan sama khususnya dalam
bidang-bidang seperti teknologi hijau, perkhidmatan teknikal utama dan
sektor-sektor bernilai tinggi lain.
''Perkongsian
strategik itu dilihat mampu menyumbang terhadap peralihan kita (Malaysia)
kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan pengetahuan serta membantu mengukuhkan
teras ekonomi negara,'' katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Dasar Pandang
ke Timur - Dimensi Baharu serta Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi
Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) Ke-31 di
sini hari ini.
Yang turut
hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed; Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura; Presiden Majeca, Tan Sri
Azman Hashim dan Presiden Jameca, Mikio Sasaki.
Najib
berkata, untuk strategi kedua, masa depan dasar tersebut perlu mempunyai
matlamat selain berkait rapat dengan hasil yang khusus.
Oleh yang
demikian ujarnya, persoalan utama berhubung perolehan kemahiran, bidang dan
tahap perlu dijelas serta diperincikan.
''Di bawah
Program Transformasi Ekonomi (ETP), kita mula beralih kepada industri
berpandukan teknologi tinggi dan pengetahuan. Kita juga memfokus industri
berkaitan pengurusan alam sekitar hingga kepada penjimatan tenaga dan teknologi
hijau.
''Kita
telah mengenal pasti prospek pertumbuhan dalam beberapa bidang utama seperti
penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan. Ini adalah sebahagian
keutamaan kita bagi tahun-tahun mendatang. Jadi kita perlu membina Dasar
Pandang ke Timur yang dapat memenuhi bidang berkenaan,'' katanya.
Strategi
seterusnya kata Najib, negara perlu memberikan fokus untuk melahirkan bukan
hanya siswazah yang mahir malah membina institusi yang kukuh.
''Itu
adalah kunci kepada perkongsian strategik yang mapan. Apa yang menggembirakan
saya adalah melihat penubuhan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun
(MJIIT) pada Jun lalu. Institut itu ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan
dalam pengajian kejuruteraan untuk ASEAN.
''MJIIT
akan menyediakan pengalaman persekitaran industri yang unik untuk negara hasil
kerjasama golongan akademik dan perniagaan Jepun selain menggalakkan lebih
banyak syarikat Jepun melabur di Malaysia. Secara jujurnya saya berharap lebih
banyak universiti Jepun untuk membuka kampus cawangan di sini,'' jelasnya.
Dalam perkembangan
lain, ujar Najib, sejak 30 tahun lalu, pelaburan Jepun telah menyokong 2,360
buah projek di negara ini.
Pelaburan
Jepun dalam sektor pembuatan Malaysia pada tahun lalu sahaja katanya, merupakan
yang tertinggi sejak 1980 yang mencecah AS$3.2 bilion (RM9.79 bilion).
Kata
beliau, projek-projek berkaitan teknologi yang diluluskan tahun lalu termasuk
projek pengeluaran panel solar oleh Panasonic Energy Malaysia bernilai AS$578
juta (RM1.76 bilion) dan pembuatan komponen komputer termaju oleh Ibiden
bernilai AS$906.3 juta (RM2.77 bilion).
Menyebut
tentang perjalanan Dasar Pandang ke Timur, katanya, Malaysia dan rakyat telah
banyak memperoleh manfaat daripada sikap terbuka Jepun berkongsi prinsip yang
membawa kepada pembaharuan negara.
Beliau
mengambil contoh kejayaan usahawan makanan halal, Akmal Abu Hassan yang pernah
mendapat didikan di Jepun.
''Hari ini,
Akmal berjaya menguruskan syarikatnya di Jepun dan Malaysia hasil daripada
pengajaran dan amalan perniagaan yang diperolehinya daripada dasar itu. Saya
difahamkan kini kita boleh menikmati Wagyu (daging lembu) halal di beberapa
restoran di Jepun hasil usaha tersebut,'' tambahnya. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment