GEORGE
TOWN: Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila
parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Profesor Emeritus
Datuk Dr Shahnon Ahmad.
Beliau
berkata apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak
politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana
PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.
Shahnon
yang juga anggota PAS seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana
kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah
dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama
dengan golongan bukan beragama Islam.
"Sepatutnya
DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan
PAS," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Beliau yang
juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada
perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.
DAP sebelum
ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini
seperti yang dimahukan PAS.
Shahnon
yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia
(USM) berkata, pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi,
Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama PAS dan DAP sekarang kerana
ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan. -BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment