Umat Islam perlu bersedia secara intelektual
bagi menangani isu-isu yang dihadapi mereka, kata Anggota Majlis Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
Beliau menjelaskan bahawa dunia Islam kini berdepan masalah
seperti kemiskinan, buta huruf, keselamatan makanan, ketidakstabilan politik
dengan negara-negara yang bergolak, dan juga pemindahan manusia di
tempat-tempat seperti Palestin, Syria dan Myanmar.
Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat
Malaysia (Mubarak)juga merujuk kepada percubaan-percubaan terbaru bagi mengecam
Islam atas nama kebebasan.
"Isu-isu kontemporari ini perlu dicabar secara
intelektual, secara lebih berhemah, tanpa menimbulkan kekecohan dan kemarahan
yang tidak membawa ke manapun," katanya pada majlis Konvokesyen UIAM ke-28
di kampus universiti itu di Gombak, di sini. "Ini merupakan landskap baru
yang perlu kita tangani. Saya menyeru kepada suatu kandungan yang lebih
inovatif, kritikal dan relevan yang terbenam dalam teras korpus pengetahuan
kita," katanya.
Abdul Aziz berkata walaupun dianugerahkan dengan kekayaan
minyak dan gas yang boleh didapati di hampir kesemua negara umat Islam, mereka
kekal terpinggir.
Beliau menjelaskan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama
Islam (OIC)dengan 20 peratus daripada penduduk dunia hanya mengeluarkan tujuh
peratus daripada output global.
"Pada masa sama, jutaan daripada mereka menderita akibat
kurang zat makanan dan berpendapatan kurang daripada US$1 sehari," katanya
sambil mengesyorkan mungkin wakaf korporat yang diperkenalkan di Malaysia
ditukar kepada wakaf berdaulat bagi membantu umat yang miskin. –BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment