Orang lemah dalam pengiraan matematik’
Kajian
Kementerian Kewangan mendapati butiran yang diberikan pembangkang tidak
mengambil kira kesan terhadap perbelanjaan operasi daripada beberapa janji yang
dicadangkan dalam bajet mereka.
Mendedahkan
kelemahan bajet bayangan pakatan, Husni berkata, pembangkang mencanangkan bajet
yang dibentangkan hanya membabitkan defisit 3.5 peratus, tetapi kajian
mendapati defisit sebenar ialah 7.2 peratus.
Hutang meningkat
“Dengan
defisit 7.2 peratus, maka jumlah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) akan meningkat kepada 57.8 peratus, melangkaui paras maksimum
ditetapkan mengikut Akta Pinjaman Domestik, iaitu kurang daripada 55 peratus,”
katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Husni
menjelaskan ini boleh menyebabkan mutu penarafan hutang kerajaan jatuh ke tahap
yang lebih rendah daripada paras A-1 yang diberikan agensi penarafan
antarabangsa, Standard and Poor's Corp dan A3 oleh Moody's Corp ketika ini.
“Ini juga
akan menyebabkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi dan menjejaskan keyakinan
pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau
mendedahkan pembangkang membentangkan bajet defisit yang rendah kerana tidak
mengambil kira pelarasan gaji minimum, cadangan pemberian bonus tahunan untuk
warga emas, penghapusan tol dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) serta pengurangan subsidi seperti yang dijanjikan.
Perlu peruntukan RM25.9 bilion
Semua janji
itu memerlukan peruntukan tambahan RM25.9 bilion, iaitu RM4.4 bilion bagi
pelarasan gaji minimum; RM2.8 bilion (bonus warga emas); RM7.7 bilion
(pengurangan subsidi); RM6 bilion (penghapusan tol) dan RM5 bilion (penghapusan
hutang PTPTN).
“Dengan
mengambil kira semua ini, perbelanjaan akan meningkat lebih besar yang
seterusnya menyebabkan defisit negara meningkat,” katanya.
Husni juga
mempertikaikan unjuran bajet pembangkang yang menyatakan kutipan hasil negara
berjumlah RM197.1 bilion, manakala peruntukan perbelanjaan RM234 bilion, iaitu
RM183 bilion belanja mengurus dan RM49 bilion untuk pembangunan.
Bagaimanapun,
apabila mengambil kira semua janji yang dibuat dalam bajet itu, pembangkang
terpaksa berhutang RM27.7 bilion berbanding RM11.8 bilion yang dinyatakan
sebelum ini.
Ini juga
menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar perbelanjaan mengurus.
Dalam sejarah, negara tidak pernah berhutang untuk perbelanjaan mengurus kerana
kerajaan sentiasa meletakkan dasar hasil melebihi perbelanjaan mengurus.
“Bayangkan
kerajaan terpaksa pinjam untuk bayar gaji dan hutang. Ini akan menyebabkan
kemerosotan kewangan dan agensi penarafan akan menurunkan taraf kita sebab kos
pinjaman lebih tinggi, selain membawa kepada pengurusan wang yang teruk dan
akhirnya mengundang kepada muflis,” katanya./BHarian
No comments:
Post a Comment