KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan sederhana
di Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.
Najib berkata daripada jumlah itu, 50,000 unit rumah akan dibina di
Lembah Klang menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), manakala baki
30,000 unit lagi bakal dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar di seluruh Wilayah Persekutuan.
"Ini bererti 80,000 unit kesemuanya yang akan dilaksanakan di bawah
identiti rumah mampu milik," katanya ketika berucap melancarkan PR1MA Alam
Damai Cheras di sini, Ahad.
Perdana Menteri memberi jaminan harga bagi setiap unit rumah yang
ditawarkan di bawah projek tersebut adalah dalam lingkungan yang mampu dibeli
oleh kumpulan sasar iaitu mereka yang mempunyai pendapatan antara RM2,500
hingga RM7,000 sebulan.
"Program untuk kategori sederhana ini perlu kerana mereka biasanya
terlepas daripada program kerajaan sebelum ini...untuk golongan miskin kita ada
program seperti Rumah Rakyat dan kita juga ada program untuk mereka yang
tinggal di luar bandar," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar bahawa setiap keluarga di
Malaysia ingin memiliki kediaman sendiri namun kadang kala hasrat itu dibatasi
oleh kemampuan kewangan.
"Impian untuk memiliki rumah ini bukan sesuatu yang tidak realistik
atau tidak wajar, malah ia merupakan satu hak rakyat yang mesti dipenuhi di
bumi Malaysia yang bertuah ini," katanya.
Najib berkata menyedari akan hakikat itu maka kerajaan telah sedaya
upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi impian setiap rakyat termasuk
dengan menubuhkan PR1MA yang bertanggungjawab melaksanakan program Rumah Mampu
Milik.
"Bila kita kaji perkara ini secara mendalam kita dapati mereka
ingin memiliki rumah dan rumah itu mestilah dalam kategori mampu dimiliki oleh
mereka.
"Jika terpaksa bayar ansuran bulanan terlalu tinggi meskipun jika
pendapatan besar secara relatif tapi akan hadapi kesempitan daripada segi
kewangan pada setiap bulan terutama hujung bulan," katanya.
Najib berkata soal beban kos hidup tidak hanya dihadapi oleh golongan
miskin atau berpendapatan rendah, malah ia turut dialami oleh mereka yang
berpendapatan pertengahan lebih-lebih jika hidup di bandar.
"Mereka yang menerima pendapatan RM5,000 mungkin hingga RM10,000
pun pada tiap hujung bulan akan hadapi apa yang kita sifatkan 'financially
stress' (tekanan kewangan).
"Dalam erti kata lain mereka ini tidak mendapat kelebihan untuk
hidup selesa pada setiap hujung bulan," katanya.
Perdana Menteri menarik perhatian apabila berkata rakyat tidak
seharusnya melihat pelaksanaan projek perumahan terutama oleh PR1MA sebagai
projek untuk memiliki rumah semata-mata, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai
'wealth creation programme' atau 'program pewujudan kekayaan'.
"Jarang ada projek seperti ini. Kalau kita beli kereta hari ini
esok akan susut nilai, tapi jika kita dapat rumah PR1MA hari ini esok kita
bakal untung 20 hingga 30 peratus...sebab itulah projek ini dapat sambutan yang
cukup hangat," katanya.
Mengenai PR1MA Alam Damai, Najib berkata ia merupakan sesuatu yang
sangat bermakna buat penduduk Bandar Tun Razak khasnya dan Wilayah Persekutuan
amnya kerana ia membuktikan komitmen kerajaan untuk meringankan kos sara hidup
golongan berpendapatan rendah di bandar.
Malah, Perdana Menteri berkata ia juga seiring dengan pelaksanaan Model
Baharu Ekonomi yang diperkenalkan di bawah agenda transformasi negara yang
menekankan beberapa prinsip termasuk pengagihan kekayaan dan kemakmuran negara
secara sama rata.
"Pertumbuhan ekonomi negara, kesan dan nikmatnya mesti bersifat
inklusif dalam erti kata lain tidak ada kelompok sama ada di desa mahupun di
bandar, tidak ada komuniti besar atau kecil yang terkecuali daripada mendapat
manfaat melalui transformasi negara.
"Orang bandar juga nak rumah yang mampu dimiliki, selesa,
berkualiti dan hidup dalam komuniti di mana keperluan disediakan seperti tempat
rekreasi, tempat kenduri-kendara dan yang paling penting selamat,"
katanya.
Najib berkata projek di PR1MA Alam Damai itu yang melibatkan 2,078 unit
akan dibangunkan secara usahasama antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta
(UKAS) dan pemaju swasta iaitu Transgreen Sdn Bhd. -mStar
No comments:
Post a Comment