SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sektor awam meletakkan
harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan
mengumumkan 'berita baik' menjelang tengah hari ini - antara dua hingga lima
perkara penting termasuk imbuhan tetap perumahan dan kajian semula isu gaji
maksimum.
Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin sekurang-kurangnya akan
ada dua pengumuman penting iaitu yang berkenaan dengan imbuhan tetap perumahan
bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang menyentuh kepentingan
sekitar 20,000 penjawat awam.
"Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini, kami yakin akan ada
berita baik berkenaan dua perkara ini, kalaupun tidak kesemua lima
perkara," kata pemimpin kanan Cuepacs.
Bagaimanapun kata pemimpin itu, "saya tidak melihat akan ada
pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji telah dibuat tahun
lalu."
Oleh itu katanya, "berita baik lebih kepada soal kajian semula
elaun seperti imbuhan perumahan dan elaun sara hidup (Cola)."
Najib dijadual hadir Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII)
di Putrajaya hari ini.
Seorang lagi pemimpin kanan Cuepacs yang tidak mahu namanya dipetik
berkata, kajian semula kaedah gaji maksimum dilihat antara perkara penting akan
diumumkan oleh perdana menteri.
"Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya sekitar 20,000
kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai 1 Januari.
"Walaupun kesan pelaksanaan melibatkan 20,000 orang pada masa
sekarang, tetapi dalam jangka panjang ia akan melibatkan kepentingan
keseluruhan kakitangan awam," katanya.
Pemimpin itu juga tidak menolak kemungkinan Najib akan mengumumkan hasil
kajian awal Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang
ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam
negara.
"Kemungkinan beberapa baik dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan
Awam (SBPA) (yang telah dibatalkan), seperti penyusunan semula gred akan
diumumkan untuk pelaksanaan. Perkara baik dalam SBPA tak salah dikekalkan dan
dilaksanakan," katanya.
Suruhanjaya itu yang dibentuk Mac 2012 dan bergerak sejak Jun lalu
diberi masa enam bulan untuk membuat kajian.
Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini,
yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan
awam masa depan yang diperlukan negara.
Ia dibentuk susulan pembatalan pelaksanaan SBPA dan kembali kepada
Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara
tujuh hingga 13 peratus.
Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata,
kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga
gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa
Kabinet Gaji.
Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara tersebut merupakan antara masalah
yang dihadapi dalam perkhidmatan awam negara ini.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum
atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan
perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara
ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam,
hari ini, perdana menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta
penjawat awam.
"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama
lagi dan kalau ada insentif, kita sama-sama tunggu.
"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan
mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86
jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum
dikaji semula seperti elaun perumahan.
Pemimpin-pemimpin Cuepacs juga menjangkakan pengumuman menarik mengambil
kira pemberian insentif kepada kakitangan Kastam Diraja Malaysia, yang
diumumkan akhir Januari lalu.
Warga agensi itu akan menerima insentif setengah bulan gaji sebagai
penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun lepas, iaitu
peningkatan 6.5 peratus berbanding 2011.
"Keseluruhan nampak ada kelainan kali ini. Jadi, kakitangan agensi
lain juga mengharapkan sesuatu... kajian semula elaun ini antara yang
penting," katanya.
Cuepacs memohon agar kerajaan menyeragamkan kadar Cola tidak kira zon.
Begitu juga imbuhan tetap perumahan yang dilihat rendah mengambil kira kos
hidup dan kadar sewa rumah yang semakin meningkat.–SinarHarian
KD: Semoga ada berita baik untuk yang terlibat..
No comments:
Post a Comment