NIBONG TEBAL: Badan Perhubungan Umno Pulau
Pinang kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang mengenakan pelbagai syarat
tambahan untuk meluluskan projek perumahan kos rendah oleh tiga agensi kerajaan
pusat.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk
Zainal Abidin Osman berkata agensi terbabit ialah Lembaga Kemajuan Wilayah
Pulau Pinang (Perda), JKP Sdn Bhd dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).
"Kita telah menerima surat daripada pihak
berkuasa tempatan (PBT) yang menyatakan bahawa mulai sekarang, semua projek
perumahan ketiga-tiga agensi itu hendaklah terlebih dahulu dimajukan kepada
Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Lim Guan
Eng," katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Beliau berkata berdasarkan amalan baharu itu,
setelah jawatankuasa pembangunan berpuas hati, barulah projek perumahan dirujuk
kepada PBT untuk kelulusan pelan dan pemberian Sijil Kependudukan (OC).
Katanya syarat itu tidak pula dikenakan kepada
syarikat pemaju swasta yang boleh terus melaksanakan projek mengikut amalan
biasa, iaitu hanya memohon kepada PBT.
Zainal Abidin juga berkata jika permohonan
projek perumahan kos rendah itu dimajukan kepada sebuah jawatankuasa khas yang
dipengerusikan Ketua Menteri, perbincangan berhubung cadangan projek tersebut
tertakluk kepada mesyuarat yang dipengerusikan beliau dan ia akan mengambil
masa mungkin berbulan-bulan untuk mendapat maklum balas.
"Kita minta Lim memberi penjelasan kenapa
beliau berbuat demikian, dan ia ternyata satu amalan yang menyusahkan serta
melewatkan projek," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perda Datuk Azhar
Ibrahim berkata pembinaan lebih 1,000 unit rumah kos rendah agensi tersebut di
seluruh negeri kini tertangguh kerana masih menunggu maklum balas daripada
kerajaan negeri.
"Kita dikenakan pelbagai syarat tambahan
seperti diarah membina jalan yang tiada dalam pelan, membina sistem perparitan
yang sepatutnya dibina oleh Jabatan Perparitan dan Saliran, serta pelbagai
syarat lain yang remeh-temeh", katanya.
Beliau juga mendakwa Lim ternyata berniat
menyusahkan projek kerajaan pusat walaupun ia untuk manfaat rakyat Pulau
Pinang. - BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment