KEPALA BATAS: Bekas perdana menteri, Tun
Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan anggota Umno agar jangan cepat merajuk dan
"tendang betis kawan" jika mahu parti itu menang besar pada Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13)nanti.
Abdullah berkata dua sikap itu bukan sahaja
akan merosakkan Umno malah akan merugikan Barisan Nasional (BN) kerana
pembangkang akan lihat parti itu lemah.
Menurut beliau sikap seumpama itu bukan
semangat atau penjuangan parti, sebaliknya para anggota perlu bersama-sama Umno
untuk berjuang dan punya sikap pentingkan Umno demi agama, bangsa dan negara.
"Sikap muafakat dalam parti perlu
diteruskan demi perjuangan parti kita dan saya tidak mahu dengar ada yang
bergaduh sesama sendiri dalam Umno kerana itu akan menjadikan parti kita kelam
kabut dan lemah," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan
Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, di sini Ahad.
Yang turut hadir Ketua Pemudanya Datuk Seri
Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno.
"Umno perlu bersatu walau apa jua masalah
yang dihadapi kerana parti kita adalah tunjang kepada negara dan kaum lain
lihat dengan apa yang parti kita buat...mereka juga mula memberi sokongan
kepada BN," katanya.
Selain itu, katanya, semua parti komponen
dalam BN juga perlu meneruskan sikap hormat menghormati dan bekerja bersama
supaya nasib rakyat dapat dibela.
"Pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini
juga perlu turun padang dan mendengar masalah rakyat, jangan sampai mereka
tolak kita kerana sikap pemimpin itu sendiri yang tidak membantu mereka
(pengundi)," katanya.
Beliau turut mengingatkan anggota Umno supaya
menjaga percakapan dan tidak sombong kerana parti itu bersifat penuh kasih
sayang.
Sementara itu, Ketua Pemuda bahagian itu Datuk
Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda
Umno, memberi jaminan Pemuda Umno akan memastikan Parlimen Kepala Batas menjadi
kubu kuat Umno.
Katanya, kehadiran ramai golongan muda
termasuk dari pelbagai kaum pada hari ini menunjukkan sokongan mereka terhadap
BN semakin meningkat dan beliau yakin Umno akan dapat mempertahankan kerusi
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Kepala Batas.
"Umno tidak pernah kalah di Kepala Batas
dan Tun Abdullah sendiri menjadi Anggota Parlimen sejak 1978, kami berjanji di
hadapan Tun (Abdullah) yang pemuda di Kepala Batas akan memastikan Parlimen
kita sebagai kubu kuat Umno sampai bila-bila," katanya. – BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment