MUAR: Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang
didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan
disingkir daripada parti.
Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana
Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap
mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon. "Dalam pilihan
raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada
parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."
"Presiden pun telah bersetuju. Kami tidak
memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah
kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno
Bahagian Bakri di sini, Sabtu.
Muhyiddin berkata dalam keadaan politik yang
disifatkan sebagai genting pada masa kini, Umno amat menuntut kepada kesetiaan
dan ketaatan anggotanya kepada parti. "Dalam sejarah pilihan raya di
Kelantan sendiri kita pernah hilang satu kerusi sebab dua undi dan kerana itu
juga kita tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan di negeri Kelantan,
jadi... jangan sabotaj.
"Letakkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti
bukan pemimpin. Kalau kita nak letak calon, kita nilai penerimaan masyarakat
dan teliti satu persatu kerana kita tidak boleh main-main lagi," katanya.
Sementara itu dalam sidang media yang diadakan
selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno
Bahagian Pagoh di sini, beliau berkata pemecatan akan dilakukan selepas
siasatan dilakukan.
"Pemecatan dibuat berdasarkan laporan. Kita tidak
bertindak sewenang-wenang. Selepas disiasat dan sekiranya benar maka tak ada
pilihan dia kena terima hukuman," katanya. Katanya terbukti berdasarkan
pengalaman lalu kekalahan Barisan Nasional (BN)di sesetengah negeri bukan
kerana rakyat tidak menyokong calon tetapi kerana masalah dalaman bahagian
apabila ada pihak yang tidak mahu membantu malah mensabotaj calon dan parti.
"Pengalaman lepas itu amat berguna kepada kita
bagi mengelak perkara tersebut berulang," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap perkara sedemikian
tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.
Ini kerana, katanya kerana semua anggota BN tahu
tentang pentingnya pilihan raya umum akan datang kepada parti.
Muhyiddin turut meminta semua pihak akur dan
menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung
pemilihan calon. Ini kerana, katanya pemilihan calon itu dibuat berdasarkan
perlembagaan parti, perundingan dengan pemimpin di semua peringkat dan
menjalani tapisan yang begitu rapi bagi menentukan calon yang dipilih adalah
calon terbaik.
"Sebab itu kita harap mereka bukan hanya akan
menerima sahaja keputusan itu tetapi turut bekerja membantu calon dan kawasan
kita untuk mencapai kemenangan cemerlang. Bagi saya itu adalah satu perkara
yang amat penting sekali," katanya.
Beliau berkata pemantauan akan dibuat di semua
kawasan lebih-lebih lagi yang dahulunya terlepas ke tangan pembangkang dan
boleh dimenangi semula, kawasan yang mempunyai masalah dalaman, kubu kuat dan
kawasan yang mempunyai persaingan sengit daripada pembangkang.
Semua parti komponen BN telahpun menghantar senarai
nama calon mereka dan kini masih dalam peringkat penilaian, katanya.
Kata Muhyiddin terdapat ramai tokoh yang
berkelayakan untuk menjadi calon namun BN tidak boleh mengambil mudah perkara
tersebut dan perlu membuat proses pemilihan yang ketat bagi memastikan
kemenangan parti.-BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment