PAS ANCAM TARIK DIRI
DARIPADA KERAJAAN P.PINANG
PERAI - Pas Pulau Pinang akan menarik diri dan melepaskan
semua jawatan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya terdapat campur tangan
tertentu dalam hal ehwal Islam di sini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Muhammad Fauzi Yusoff
berkata, pihaknya menuntut supaya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau
Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man diberikan kuasa penuh dalam bidang tugas beliau.
Menurutnya, difahamkan ada berlaku campur tangan yang tidak
wajar oleh Exco Kerajaan Negeri dalam menetapkan jawatan Ahli-ahli Majlis
MAINPP, pengerusi dan ahli lembaga pengarah untuk sesi pemilihan akan datang.
“Ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan etika dan
amat dikesali sekiranya benar.
“Selain itu, kami mahu bilangan ahli majlis yang dilantik
dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau
Pinang (MPPP) ditambah kuotanya dari dua kepada empat orang,” katanya dalam
sidang media khas yang diadakan di Safira Country Club, hari ini.
Beliau berkata, kesemua sayap parti meminta Pas supaya lebih
bertegas dengan kerajaan negeri bagi memastikan posisi dan peranan yang
dimainkan dalam pentadbiran lebih seimbang.
“Tindakan kerajaan negeri mengadakan perbincangan sesuatu
dasar mahupun polisi tanpa membabitkan Pas menampakkan kami seolah-olah seperti
boneka. dan kami tidak akan mengiktiraf mana-mana individu dari luar parti yang
dilantik secara politik tanpa melalui perbincangan dan persetujuan Pas negeri.
“Jika tuntutan yang dibuat tidak diambil serius maka kami
akan menarik diri dan meletak jawatan atau posisi jawatan malah akan kedudukan
dalam pakatan pembangkang akan dikaji semula demi menjaga maruah dan prinsip parti,”
katanya.
Muhammad Fauzi berkata, permintaan yang disuarakan itu
mewakili akar umbi ahli Pas negeri ini.
“Kami mahu Pas negeri diberi kuasa penuh untuk memilih dan
melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di dua Parlimen
dan enam Dun yang ditandingi Pas.
“Permintaan ini bersesuaian dengan sumbangan yang kami
berikan kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.
Beliau berkata, surat-surat permohonan yang dihantar kepada
kerajaan negeri tidak dijawab menyebabkan Badan Perhubungan Pas Negeri terpaksa
menyuarakan permintaan itu menerusi sidang media.
“Kerajaan negeri mungkin terlalu sibuk bertemu rakyat
sehingga tiada masa untuk memberi jawapan namun diharapkan menerusi cara ini
(sidang media), mereka akan sedar akan permintaan yang disuarakan.
“Tuntutan ini selaras dengan slogan yang dilaungkan walaupun
ia tidak dipraktikkan kerajaan negeri buat masa ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment