HUDUD BUKAN UNTUK
NEGERI PR SAHAJA
SHAH ALAM - Susulan laporan Pas akan menggunakan pentas
Muktamar ke-59 parti itu untuk mendesak negeri-negeri di bawah PR untuk
melaksanakan hudud, dinafikan oleh Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man.
Tuan Ibrahim menerusi satu kenyataan media berkata, artikel
berjudul "Negeri pentadbiran PR akan didesak laksana hudud" - merujuk
kepada usul muktamar Pas - telah disalah lapor.
"Usul yang diterima dengan pindaan untuk perbahasan
ialah untuk mendesak kerajaan Malaysia agar melaksanakan undang-undang Syariah
dan membantu mana-mana negeri yang inginkan perkara yang sama untuk
melaksanakannya.
"Ia bukanlah usul yang fokus pada negeri-negeri PR
semata-mata. Umum mengetahui, halangan kepada terlaksananya undang-undang Islam
ada di tangan kerajaan pusat yang diterajui Umno," katanya.
"Oleh itu, tidak munasabah untuk Pas mendesak
negeri-negeri PR sahaja untuk melaksanakan undang-undang Syariah tatkala
Kelantan masih menghadapi pelbagai cabaran perundangan yang menjadi penghalang
selama ini," tambahnya lagi.
Tuan Ibrahim turut memetik kenyataan Adun Umno dari Kemelah,
Datuk Ayub Rahmat yang pernah menyatakan hasratnya untuk melihat undang-undang
Syariah dilaksanakan di negeri Johor.
"Seperti kata Ahli Parlimen Ketereh dari Umno, Tan Sri
Annuar Musa umat Islam wajib berusaha untuk memastikan hukum Syariah ini
berjaya direalisasikan," ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Tuan Ibrahim sebagai
berkata, usul supaya negeri-negeri di bawah PR melaksanakan hudud akan
dibentang pada Muktamar ke-59 parti itu yang akan bermula malam ini.
Menurutnya, usul tersebut akan terus dibahas di peringkat
Pas Pusat sehingga menemui resolusi sekali gus akan dibawa ke peringkat Dewan
Rakyat.
"Dalam muktamar itu juga kita akan desak negeri-negeri
yang dikuasai PR melaksanakan undang-undang itu, " katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment