HUDUD: PAS TAK AKAN
BERUNDUR JIKA DIKECAM
SHAH ALAM - Pas tidak akan berundur kebelakang untuk
merealisasikan pelaksanaan hudud di Kelantan walaupun mendapat kecaman daripada
parti perikatan PR.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Pas akan
konsisten dalam keputusan tersebut dan perlu diteruskan walaupun rakan PR yang
lain menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan hukum hudud.
"Kita tak rasa takut untuk perkara ini, ini kerana kita
konsisten.
"Semua itu telah difahami DAP dan PKR dalam PR.
"Kecaman itu tak menjadi isu, kita akan terus memberi
kefahaman kepada masyarakat bukan Islam mengenai perkara ini.
"Kita juga tak akan berundur kebelakang apabila ada
orang kecam kita, seperti PRU lalu, akhirnya kita lihat orang Cina boleh kata
hudud pun hududlah sebab mereka mahukan perubahan," katanya ketika
wawancara eksklusif di ibu Pejabat Pas, di sini, hari ini.
Tambahnya, perkara tersebut juga telah serta perlu difahami
DAP dan PKR mengenai perjuangan yang dibawa oleh Pas.
"Kita terima kalau parti lain nak berbeza pendapat
dengan kita, itu hak mereka," ujarnya.
Mengikut laporan media, Kelantan akan melaksanakan hudud
ekoran kelengkapan prasarana untuk perkara itu telah ada.
Kerajaan negeri itu juga dilaporkan akan memperuntukkan RM1
juta untuk merealisasikan undang-undang Islam tersebut.
Terbaru, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
berkata Muktamar Pas ke-59, pada 20 hingga 24 November ini akan membahaskan
usul hudud sekaligus mencari resolusi untuk diketengah kepada Kerajaan Pusat.
Dalam perkembangan sama, Salahuddin yang juga bekas Ahli
Parlimen Kubang Kerian menegaskan usaha berterusan untuk memberi pemahaman
kepada masyarakat bukan Islam perlu diteruskan.
Katanya, melalui usaha tersebut tidak mustahil undang-undang
Islam itu akan diterima oleh golongan itu.
"Saya cukup yakin dan percaya sekiranya Pas memberi
kefahaman sebenarnya dan pihak kerajaan bagi ruang, kita akan berjaya
laksanakannya.
"Saya juga lihat situasi apabila orang bukan Islam
melihat jenayah negara makin menggerunkan serta menakutkan, telah ada suara di
peringkat bawahan hatta ahli perniagaan Cina sendiri menyatakan hukum hudud
bagus untuk dilaksnakan dan selesaikan perkara itu.
"Jadi perkara ini saya rasa cukup memberi gambaran
kepada saya untuk teruskan perjuangan dan akhirnya mereka (bukan Islam) faham
apa hudud sebenarnya," jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment