PELAKSANAAN HUDUD
PERLU SECARA MENYELURUH
Sambil menyarankan hukum hudud dilaksanakan terlebih dahulu
di semua negeri di bawah pentadbiran
pembangkang, beliau berkata, Pas tidak harus meletakkan bebanan pelaksanaan
hukum hudud kepada kerajaan Pusat.
"Seharusnya pakatan pembangkang sudah berpakat mengenai
hal ini dan melaksanakannya di negeri-negeri yang mereka terajui," katanya
kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Sinergi
Perdana Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif produk cuka getah Hiska keluaran
Hiska Sinergi Sdn Bhd di sini, semalam.
“Pas melaungkan mereka sebagai sebuah parti yang
memperjuangkan Islam namun di dalam manifesto Pakatan Rakyat yang lalu langsung
tidak disebut mengenai hukum hudud, sebaliknya meminta kerajaan untuk campur
tangan dalam hal ini.
“Mereka (Pas) meletakkan bebanan pelaksanaan hukum hudud ini
kepada kerajaan, dan sepatutnya mereka memperincikan dahulu mengenai perkara
ini di setiap negeri di bawah mereka termasuk Pulau Pinang dan bukan hanya
dilaksanakan di Kelantan,” katanya.
Mohd Shafie mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan
Datuk Daud Muhammad pada Rabu lepas bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah
bersedia melaksanakan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993
jika kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang itu.
“Dalam bab agama, kuasa-kuasa tertentu telah diberikan di
peringkat negeri-negeri. Namun kita juga perlu meneliti terlebih dahulu kesan
perundangan (hukum hudud) di peringkat Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan mini Karnival Usahawan Desa (KUD)
akan diadakan di setiap zon di seluruh negara pada tahun hadapan.
“Penganjuran mini karnival ini adalah berdasarkan sambutan
yang amat menggalakkan terhadap penganjuran KUD 2013 baru-baru ini,” katanya.
Menteri itu turut memaklumkan Kolej Risda akan dinaik taraf
kepada kolej universiti yang akan dikenali sebagai Kolej Universiti Agrosains
tidak lama lagi. – Bernama
No comments:
Post a Comment