SIDANG DUN P. PINANG
KECOH ISU PERKAUMAN
GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh
apabila berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan negeri dan wakil
rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung isu gerai makan diroboh Majlis
Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini.
Kekecohan tercetus apabila Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu)
mahu ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid menarik balik kenyataannya berhubung
isu itu yang disifatkan sebagai rasis.
Phee mendakwa Jahara cuba menimbulkan persepsi perkauman
terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila mengatakan PBT hanya mengambil
tindakan terhadap peniaga Melayu.
"Saya tak kata PBT hanya ambil tindakan
kepada orang Melayu. Kalau ada impression (tanggapan) macam itu saya minta
maaf. Saya hanya minta keadilan, penjelasan. Peniaga terbabit bukan baru
berniaga sehari, dua...sudah 20 tahun.
"Kalau mahu ambil tindakan, ambil tindakan terhadap
semua...jangan pilih-pilih," kata Jahara ketika membahaskan Rang
Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan DUN di sini, Isnin.
Pertikaman lidah itu berjaya dihentikan apabila Speaker
Datuk Law Choo Kiang mengarahkan Phee duduk selepas Jahara memohon maaf dan
mengarahkan ketua pembangkang itu meneruskan perbahasannya.
Bagaimanapun, dewan kembali kecoh apabila Jahara mahu
kerajaan negeri menjelaskan mengenai nama Pulau Mazu yang didakwa sebagai nama
baharu bagi Pulau Jerejak. "Adanya satu pulau di sini diberi nama baru
Mazu Island. Mazu Island ini adalah Pulau Jerejak yang mana telah diberi nama
baru oleh seorang pengusaha yang mempromosikannya dalam bentuk pelancongan.
"Sebuah tokong besar juga dibina tanpa kebenaran. Siapa
yang meluluskan semua ini," katanya sambil menunjukkan gambar pengusaha
itu bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Tindakan Jahara menunjukkan gambar itu menimbulkan rasa
tidak puas hati R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima), Phee (DAP-Sungai Puyu) dan Soon
Lip Chee (DAP-Jawi) yang bangkit mempertikaikan tindakan itu. "Itu sudah
melampau...tindakan ini menuduh seolah-olah kerajaan negeri beri kelulusan
semata-mata orang itu mengenali ketua menteri. Mana ada bukti ketua menteri
beri kelulusan," kata Rayer.
Jahara kemudiannya berkata beliau hanya mahu penjelasan
kerajaan negeri berhubung kewujudan nama Pulau Mazu itu.
Bagaimanapun, Jahara terus-terusan diasak wakil rakyat
berkenaan yang mahu beliau menjelaskan tindakannya itu.
Tindakan wakil rakyat yang tidak memberi peluang kepada
Jahara untuk berbahas telah menyebabkan kesemua sepuluh wakil rakyat BN
meninggalkan sidang DUN sebagai tanda protes. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment