· Kawal harga rumah
· Tambah pelepasan cukai
KUALA LUMPUR:
Saranan supaya kerajaan mengawal harga rumah yang terlalu tinggi adalah antara
cadangan utama dikemukakan rakyat kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan
dalam Bajet 2013.
Satu lagi
cadangan yang banyak dikemukakan ialah memberi pelepasan cukai tambahan bagi
mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Dua cadangan
itu merangkumi 50 peratus daripada 2,990 cadangan yang dihantar oleh 2,693
orang dalam laman web Datuk Seri Najib Razak, www.1malaysia.com.my sejak 16
hingga 29 Julai lalu.
Malah, dua
cadangan berkenaan meraih 30,000 sokongan daripada keseluruhan 41,879 undi
orang ramai sepanjang tempoh perbincangan mengenai bajet itu dibuka.
Sebahagian besar mereka mengeluh kenaikan harga rumah yang
disifatkan amat drastik dan tidak munasabah sehingga menyukarkan rakyat
memiliki kediaman sendiri dan terpaksa menanggung sewa yang mahal.
Keluhan sama
turut diluahkan oleh rakyat berpendapatan sederhana yang menyifatkan mereka
sebagai golongan ‘tersepit dan miskin di bandar raya’ kerana tidak mampu
membeli rumah tetapi pada masa sama tidak layak menikmati insentif skim
perumahan yang ditawarkan kerajaan.
Dalam konteks
ini, ramai meminta kerajaan mengekang aktiviti spekulator mengaut keuntungan
besar, terutama pihak yang membeli semata-mata untuk menjualnya semula pada
harga lebih tinggi serta memperketatkan dasar pemilikan rumah dan hartanah oleh
warga asing.
Antara
cadangan yang mendapat undi sokongan tinggi ialah:
“Saya berharap kerajaan melakukan suatu
mengenai kenaikan tinggi harga rumah yang mendadak bagi rakyat biasa... ramai
yang terlalu sukar memiliki rumah sekarang.”
“Pantau pemaju perumahan. Rumah menjadi
terlalu mahal. Enam tahun kebelakangan ini harga meningkat hampir 70 hingga 80
peratus dan berkualiti rendah. Terlalu banyak keretakan dalam tahun pertama
mendudukinya. Perlu ada jawatankuasa untuk memantau.”
“Minta Datuk Seri ambil berat mengenai
harga rumah yang semakin tidak masuk akal. Langkah itu mungkin membantutkan
industri perumahan dan hartanah, tetapi kita harus ambil kira keperluan rakyat.
Rumah adalah satu keperluan hidup.”
Dari segi
pelepasan cukai, ramai mencadangkan kerajaan memberi potongan lebih besar untuk
individu tanggungan, anak di bawah umur 18 tahun, ibu bapa, perubatan, penyakit
kritikal, insurans dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebahagian
besar mereka berpendapat kadar pelepasan cukai individu tanggungan sebanyak
RM9,000 ketika ini tidak memadai, sebaliknya ada yang menyarankan ia
ditingkatkan sehingga RM18,000./BHarian
No comments:
Post a Comment