Rangka tindakan khusus -PPIM
KUALA LUMPUR: Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan merangka tindakan lebih khusus
untuk membanteras kegiatan skim penipuan termasuk menerusi internet yang turut
menyasarkan golongan elit dan berpendidikan tinggi.
Kegiatan
penipuan antaranya gores dan menang, pelaburan emas, tambah nilai kad SIM,
cabutan nombor kad SIM, pembelian rumah, loteri dan wasiat yang dikesan
didalangi warga asing itu dipercayai membabitkan transaksi berbilion ringgit.
Kerugian besar
Ketua Aktivis
PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun membabitkan kerugian yang besar
kepada mangsa, tidak banyak laporan polis dibuat kerana mangsa malu dan masih
berharap untuk mendapatkan wang seperti dijanjikan penganjur skim.
“Sampai bila
kerajaan hendak menunggu untuk mewujudkan satu mekanisme secara menyeluruh kerana
setiap hari pengguna terdedah kepada skim penipuan yang menggunakan pelbagai
modus operandi.
“Selain itu,
masyarakat juga perlu berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan membuang sikap
tamak, sebaliknya mewujudkan zon penampan dalam diri masing-masing dan sentiasa
berkata `tidak’ dengan sebarang tawaran yang memberikan habuan secara mudah,”
katanya kepada BH, semalam.
Berikutan
peningkatan kes penipuan yang diterima PPIM, sejak setahun lalu, persatuan itu
membangunkan laman forumsemak.blogspot.com untuk berkongsi maklumat berkaitan
kegiatan penipuan bagi mengelak lebih ramai pengguna terus tertipu.
Kumpul aduan
Blog itu juga
mengumpul aduan pengguna mengenai segala penipuan termasuk membabitkan
pelaburan, syarikat jualan langsung dan perniagaan atas talian.
Terbaru blog
itu memaparkan penipuan satu sindiket yang mengguna nama yayasan diraja negara
jiran./BHarian
No comments:
Post a Comment