Showing posts with label PPIM. Show all posts
Showing posts with label PPIM. Show all posts

Sunday, June 2, 2013

HINA AGONG: PPIM DESAK TINDAKAN TEGAS DIAMBIL SEGERA

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan kaum Cina, dipercayai rakyat Malaysia yang begitu biadab terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melalui laman sosial Facebook malam tadi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sikap biadab itu tidak boleh dibiarkan kerana kesannya amat buruk terutama kepada hubungan antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, tindakan itu juga boleh mendatangkan kemarahan orang Melayu kerana hubung kait institusi raja dengan kaum tersebut yang amat rapat selain kedudukannya yang begitu tinggi dalam sistem pemerintahan negara.

"Institusi raja wajib dihormati semua kaum di negara ini dan tidak sewajarnya dihina sebegitu rupa.

"Tindakan biadab mereka perlu dibalas dengan tindakan undang-undang paling tegas. Tujuannya untuk menyedarkan mereka tentang kesalahan yang telah dilakukan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan individu dipercayai rakyat Malaysia kaum Cina yang bertindak biadab terhadap ucapan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.

Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di laman sosial berkenaan malam tadi sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan tindak-tanduk itu sekiranya dibiarkan akan menyebabkan negara berhadapan masalah perkauman lebih kritikal pada masa depan.

"Bagi saya isu ini seperti bom jangka. Suatu hari nanti, bom ini akan meletup dan mangsanya ialah generasi kita akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa pihak berkuasa bertindak segera terhadap seorang guru Cina di Gelang Patah, Johor yang didakwa menghina pelajar Melayu dan kerajaan menggunakan kata-kata kesat dan keji.

"Guru itu perlu dikenakan tindakan paling tegas. Bagi PPIM, kerajaan tidak boleh lagi berlembut. Waktu untuk berlembut telah tamat," katanya.–Utusan Online

Thursday, August 16, 2012

BANTERAS KES TIPU DI INTERNET

Rangka tindakan khusus -PPIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan merangka tindakan lebih khusus untuk membanteras kegiatan skim penipuan termasuk menerusi internet yang turut menyasarkan golongan elit dan berpendidikan tinggi.

Kegiatan penipuan antaranya gores dan menang, pelaburan emas, tambah nilai kad SIM, cabutan nombor kad SIM, pembelian rumah, loteri dan wasiat yang dikesan didalangi warga asing itu dipercayai membabitkan transaksi berbilion ringgit.

Kerugian besar

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun membabitkan kerugian yang besar kepada mangsa, tidak banyak laporan polis dibuat kerana mangsa malu dan masih berharap untuk mendapatkan wang seperti dijanjikan penganjur skim.

“Sampai bila kerajaan hendak menunggu untuk mewujudkan satu mekanisme secara menyeluruh kerana setiap hari pengguna terdedah kepada skim penipuan yang menggunakan pelbagai modus operandi.

“Selain itu, masyarakat juga perlu berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan membuang sikap tamak, sebaliknya mewujudkan zon penampan dalam diri masing-masing dan sentiasa berkata `tidak’ dengan sebarang tawaran yang memberikan habuan secara mudah,” katanya kepada BH, semalam.

Berikutan peningkatan kes penipuan yang diterima PPIM, sejak setahun lalu, persatuan itu membangunkan laman forumsemak.blogspot.com untuk berkongsi maklumat berkaitan kegiatan penipuan bagi mengelak lebih ramai pengguna terus tertipu.

Kumpul aduan

Blog itu juga mengumpul aduan pengguna mengenai segala penipuan termasuk membabitkan pelaburan, syarikat jualan langsung dan perniagaan atas talian.

Terbaru blog itu memaparkan penipuan satu sindiket yang mengguna nama yayasan diraja negara jiran./BHarian