PAGOH - Tan
Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kira-kira 13 juta pengundi yang akan membuang
undi pada 5 Mei ini supaya membuat pemilihan yang bijaksana dan bukan
bersandarkan emosi.
Timbalan
Perdana Menteri berkata, rakyat khususnya pengundi perlu memahami maksud
Pilihan Raya Umum Ke-13 agar mereka dapat membuat keputusan tepat dengan
memilih Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjuang untuk semua lapisan
masyarakat.
"Walaupun
nampak mudah, 13 juta rakyat yang akan mengundi pada 5 Mei ini, merekalah yang
akan menentukan kerajaan dan kita tentunya mengharapkan mandat terus diberikan
kepada BN," katanya semasa merasmikan Balai Raya Kampung Paya Panjang di
sini hari ini.
Muhyiddin
berkata, dasar perjuangan BN tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini iaitu
untuk menjadi negara maju dan tidak mengabaikan pemberian bantuan kepada rakyat
sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Katanya,
keutuhan BN adalah hasil kerjasama semua parti komponennya yang sudah terbukti
dan sepakat menggunakan simbol dacing bagi mewakilinya dalam setiap pilihan
raya umum berbanding pembangkang yang berpecah-belah.
"Mereka
hanya berlakon kononnya sepakat tetapi kemudiannya bergaduh dan konflik itu
semakin ketara apabila serentak meletakkan calon DAP, Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dan Pas di kawasan yang ditandingi calon UMNO.
"Begitu
juga Pas bercadang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud jika menang
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi DAP tidak bersetuju, jadi jika
masing-masing tidak bersetuju, macam mana mereka hendak duduk semeja,"
katanya.
Muhyiddin
berkata, sepanjang lebih 55 tahun memerintah, BN berjaya memberikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara tetapi pembangkang sibuk mahu
mengambil alih Putrajaya.
"Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kemaruk hendak menjadi Perdana
Menteri dan sudah berangan-angan tetapi mungkin angan-angan Mat Jenin sahaja,
jauh panggang dari api, saya percaya Anwar tidak akan menang dan tidak akan
menjadi Perdana Menteri.
''Itu harapan
kita, yang kita mahu jumpa Yang di-Pertuan Agong selepas 5 Mei ini tidak lain
tidak bukan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Sementara
itu, semasa berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat pada Kampung Bukit Treh
di sini, beliau melahirkan keyakinan ramai yang akan keluar mengundi berikutan
banyak pesanan yang dihebahkan menerusi media massa.
''Ini
kerana ada lagu mengajak rakyat mengundi di televisyen dan pesanan di akhbar,
jadi harapan saya keluarlah mengundi pada awal pagi.
''Kalau
boleh lepas sarapan terus ke pusat pengundian dan beri sokongan 100 peratus
kepada BN demi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan sedia ada,''
katanya. –UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment