JANGAN RAKYAT
SENGSARA PEMIMPIN SELESA
SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff hari ini bersetuju
dengan kenyataan Ahli Parlimen Pulai (BN), Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan
bahawa kerajaan perlu memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari
jalan terbaik untuk mengatasinya dalam istilah mudahnya ialah memahami denyut
nadi rakyat.
Menurutnya, mengambil satu contoh, dari aspek ekonomi,
sekiranya berlaku bebanan terhadap ekonomi negara kedua-dua pihak sama ada
daripada pemimpin mahupun rakyat perlu sama-sama memikul bebanan tersebut, agar
tidak timbul istilah ‘berat sebelah’, atau hanya satu pihak sahaja yang
terpaksa menanggung beban tersebut.
“Bagi saya pemimpin jangan hanya pandai melepaskan diri
mereka sahaja, cuba fahami masalah rakyat.
“Setiap bebanan negara itu dipikul bersama, jangan hanya
rakyat yang terpaksa menanggung sengsara tetapi pemimpin selesa.
“…oleh itu saya sangat kecewa sekiranya pemimpin memberi
aspirasi palsu kepada rakyat, bagi saya rakyat tidak tuntut lebih, tetapi
mereka hanya mahukan sedikit ruang untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya
ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.
Mengulas lanjut, Agus menegaskan pemimpin yang tidak
mempunyai ‘jiwa rakyat’ pasti akan ditolak oleh rakyat kelak.
“Ingatlah pemimpin jangan sampai satu hari nanti kamu
ditolak oleh rakyat, dek kerana sikap kamu yang tidak pernah memahami denyut nadi
rakyat.
“Setiap persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat itu perlu
difahami dan dijawab sebaik mungkin, bukan dibalas dengan jawapan yang
seolah-olah memandulkan rakyat,” tegasnya.
Hari ini dalam satu kenyataan, Nur Jazlan yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan BN perlu memahami
denyut nadi agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU yang akan datang.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment