GST:
PENIAGA TUNGGU DAN LIHAT
Pengarah Eksekutif bagi Percukaian Crowe Horwath Malaysia,
Fennie Lim berkata, sektor perniagaan perlu mengetahui kedudukan mereka
memandangkan GST bukan semata-mata isu percukaian dan kewangan.
"Ia memberi kesan kepada semua bahagian operasi
perniagaan, bermula daripada sistem teknologi maklumat, perolehan, jualan dan
pemasaran, jabatan penetapan harga, hubungan dengan pembekal, hubungan dengan
pelanggan, sehinggalah kepada aliran tunai.
"Kesemua mereka mesti mengetahui mengenai GST dan
kesannya ke atas peniagaan mereka dalam tempoh peralihan ini," katanya
kepada Bernama.
Crowe Horwath Malaysia ialah firma perakaunan kelima
terbesar di negara ini dan merupakan ahli Crowe Horwath International,
rangkaian 10 firma perakaunan global terkemuka dunia.
"Enam belas bulan dari sekarang bukan merupakan tempoh
yang panjang untuk membuat persediaan perlu. Sekarang adalah masa yang sangat
baik untuk memulakan perancangan," kata Lim.
Beliau mencadangkan semua jabatan dalam syarikat supaya
membuat senarai semak dan menilai tahap pengetahuan mereka tentang GST dan
bagaimana ia akan memberi kesan terhadap harga masing-masing.
"Mereka kemudiannya boleh membuat semakan menggunakan
sistem perakaunan untuk menentukan sama ada semua maklumat dirakam.
"Memang senang untuk membuat silap jika mereka
semata-mata bergantung kepada tenaga manusia," katanya.
Sementara itu, Eksekutif GST Crowe Horwath Australia Chan
Wai Choong berkata, perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh sektor perniagaan
dalam melaksanakan GST ialah membuat perancangan awal dan menggunakan kaedah
berstruktur.
"Senaraikan aktiviti yang perlu dilakukan, secepat yang
boleh. Dari situ anda boleh melaksanakan rancangan itu dan bersedia untuk
percubaan. Ada pepatah mengatakan jika anda gagal merancang, anda merancang
untuk gagal," kata Chan.
Crowe Horwath Malaysia kini membantu kebanyakan pelanggan
untuk melakukan kajian pelaksanaan praGST bagi menentukan kesan GST ke atas
aliran tunai dan harga mereka.
"Kami melakukan analisis transaksi, dan dari sini kami
akan dapat melihat kedudukan dan sejauh mana mereka sudah bersedia melaksanakan
GST.
"Kami juga akan mengkaji perkara yang mereka perlu
masukan, jenis sistem dan banyak penambahbaikan perlu untuk memastikan mereka
bersedia.
Ini akan menjadi asas yang baik jika mereka mahu membuat
sebarang pelarasan harga, kata Lim.
Beliau berkata banyak pelanggan dan bukan pelanggan telah
mengikuti sesi taklimat, latihan dan seminar.
"Kami menerima banyak pertanyaan, mereka berminat untuk
mengetahui lebih lanjut. Kebanyakan perniagaan bersikap positif selepas
memahami GST memandangkan mereka boleh menuntut cukai input," kata Lim.
Sumber: Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment