Showing posts with label awam. Show all posts
Showing posts with label awam. Show all posts

Wednesday, January 1, 2014

PM UMUM 11 LANGKAH PENJIMATAN SEKTOR AWAM
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, berkuat kuasa 1 Januari 2014.
Perdana Menteri berkata, ia sejajar hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat tahun depan, manakala langkah penjimatan lain bakal menyusul dan diperkenalkan secara berperingkat berdasarkan keperluan serta keadaan semasa.
 “Keputusan dibuat selepas berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
 Langkah berkenaan ialah:
-Pengurangan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri serta lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas.
 -Pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
-Pengurangan RM50 hingga RM100 atau 30 peratus kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan (Gred JUSA C ke atas).
-Pembekuan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
-Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan termasuk menjalankan kajian kesesuaian, manakala cadangan pelantikan perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan KSN untuk kelulusan.
-Pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara dan pemberian cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis kerajaan membabitkan anggota pentadbiran serta penjawat awam.
-Pindaan kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa. Ia termasuk penggunaan kelas ekonomi sektor domestik bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah.
-Mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.
 -Pengurangan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau acara rasmi kerajaan.
-Mengoptimum penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis.
-Mengguna pakai pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan di institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar serta bengkel.
Sumber: Berita Harian

Monday, December 30, 2013

KURANG BELANJA SEKTOR AWAM: PENGUMUMAN PM BERI KESAN POSITIF

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan sektor awam melalui 11 langkah bermula 1 Januari ini, dilihat sebagai usaha memulihkan imej kerajaan di mata rakyat.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, langkah mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri akan beri kesan positif kepada kerajaan.

Bagaimanapun, tindakan mengurangkan elaun keraian lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas pula, dijangka  beri reaksi berbeza di kalangan penjawat awam elit.

"Langkah ini adalah satu usaha untuk kurangkan kos perbelanjaan yang dijangka menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih baik.


Sumber: Sinar Harian
PENJAWAT AWAM MANGSA BANJIR BOLEH TUNTUT INSURANS
    
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan boleh membuat tuntutan insurans, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Penjawat awam yang menjadi mangsa banjir boleh hubungi @MOFmalaysia untuk mendapatkan maklumat tuntutan insurans,” kata Perdana Menteri dalam Twitter semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian bagi mengulas pautan twitter BERNAMA bertajuk ‘Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam’.

Tuntutan daripada panel

BERNAMA memetik makluman Kementerian Kewangan, iaitu penjawat awam mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan, dinasihati mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Tuntutan insurans meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya, selain kejadian pecah rumah ketika banjir.

Tuntutan boleh dibuat dengan menghubungi syarikat insurans/takaful yang sedia memberikan perkhidmatan. Maklumat lanjut boleh dilayari di http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir talian 03-8880 2121. 

Sumber: Bernama/Berita Harian

Tuesday, November 19, 2013

70 PERATUS KUMPULAN PELAKSANA PENJAWAT AWAM TANPA IJAZAH

KUALA LUMPUR - Sebanyak 70.8 peratus atau 801,871 orang menyertai kumpulan pelaksana dalam sektor perkhidmatan awam tanpa kelayakan ijazah sarjana muda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, sebanyak 29.2 peratus atau 330,579 orang pula menyertai kumpulan pengurusan tertinggi dan profesional sektor itu dengan ijazah sarjana muda.

"Jumlah penjawat awam, tidak termasuk polis dan tentera, sehingga Oktober 2013 ialah 1,132,450 orang," katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Lip Eng bertanya mengenai jumlah penjawat awam setakat Oktober 2013 mengikut bangsa, jantina, mahasiswa, bukan mahasiswa dan bilangan yang perlu ditambah setiap tahun untuk lima tahun akan datang.

Shahidan berkata, jumlah penjawat awam mengikut kaum ialah 77.4 peratus Melayu, Cina (6.2), India (4.1), bumiputera Sabah (6.6), bumiputera Sarawak (4.3) dan lain-lain kaum 1.4 peratus.

"Jumlah penjawat awam mengikut jantina pula ialah lelaki sebanyak 45.5 peratus manakala wanita 54.5 peratus," katanya.

Shahidan berkata, pada masa ini, pertambahan perjawatan adalah bagi memenuhi keperluan negara khususnya bagi keselamatan, pendidikan dan kesihatan.

"Pendekatan penugasan semula dan tukar ganti pula digunakan bagi memenuhi fungsi dan tugas agensi," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Monday, November 18, 2013

BILANGAN PENJAWAT AWAM RAMAI BUKAN ISU

GEORGETOWN - Bilangan penjawat awam di negara ini tidak seharusnya dijadikan isu kerana apa yang penting adalah bagaimana mahu meningkatkan sistem penyampaian dan kecekapan perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
  
Beliau berkata, kecekapan perkhidmatan dan inovasi penjawat awam seharusnya menjadi agenda utama dalam usaha mentransformasikan sektor perkhidmatan awam agar ia selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa. 
  
"Kita tidak bercakap dari segi jumlah, tetapi kita bercakap dari segi produk yang kita nak buat...yang boleh memberi kejayaan kepada negara.
  
"Kalau kita bercakap dari segi nombor semata-mata tapi dari segi hasil dan produknya kita tidak bercakap, jadi tidak nampaklah kejayaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini.
  
Beliau berkata, demikian sebagai mengulas cadangan sesetengah pihak supaya bilangan penjawat awam dikurangkan bagi meningkatkan kecekapan sektor perkhidmatan awam.
 
Mohamad Zabidi berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan setiap penjawat awam dapat meningkatkan perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi membolehkan sektor itu bergerak seiring dengan status negara maju menjelang 2020.
  
"Pegawai-pegawai perkhimatan awam adalah tulang belakang kepada pelaksanaan. Daripada dulu lagi mereka memainkan peranan penting dan peranan ini akan kita teruskan. Ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran baharu yang kita perlukan, ini yang akan kita tingkatkan," tambahnya.
  
Mengulas mengenai seminar itu, Mohamad Zabidi berkata kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sektor awam menganjurkan program seumpama itu mampu membentuk dimensi baharu dalam memperkasa pembangunan modal insan.
  
Beliau berkata, jalinan kerjasama itu adalah cerminan pendekatan kreatif dan inovatif dalam menterjemahkan hasil dengan lebih cepat dan berkesan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
  
Katanya kolaborasi proaktif itu wajar dikembangkan kerana ia secara langsung menyumbang kepada usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan perkhidmatan awam ke tahap yang lebih baik.
  
Seminar dua hari bertemakan 'Kreativiti dan Inovasi Menjana Modal Insan Produktif' itu adalah anjuran bersama Institut Tadbiran Awam Negara dan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia bertujuan membincangkan pendekatan pembangunan budaya inovasi dalam perkhimatan awam. – Bernama


Sumber: Sinar Harian