70 PERATUS KUMPULAN
PELAKSANA PENJAWAT AWAM TANPA IJAZAH
KUALA LUMPUR - Sebanyak 70.8 peratus atau 801,871 orang
menyertai kumpulan pelaksana dalam sektor perkhidmatan awam tanpa kelayakan
ijazah sarjana muda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Shahidan Kassim.
Beliau berkata, sebanyak 29.2 peratus atau 330,579 orang
pula menyertai kumpulan pengurusan tertinggi dan profesional sektor itu dengan
ijazah sarjana muda.
"Jumlah penjawat awam, tidak termasuk polis dan
tentera, sehingga Oktober 2013 ialah 1,132,450 orang," katanya ketika
menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat, di
sini hari ini.
Lip Eng bertanya mengenai jumlah penjawat awam setakat
Oktober 2013 mengikut bangsa, jantina, mahasiswa, bukan mahasiswa dan bilangan
yang perlu ditambah setiap tahun untuk lima tahun akan datang.
Shahidan berkata, jumlah penjawat awam mengikut kaum ialah
77.4 peratus Melayu, Cina (6.2), India (4.1), bumiputera Sabah (6.6),
bumiputera Sarawak (4.3) dan lain-lain kaum 1.4 peratus.
"Jumlah penjawat awam mengikut jantina pula ialah
lelaki sebanyak 45.5 peratus manakala wanita 54.5 peratus," katanya.
Shahidan berkata, pada masa ini, pertambahan perjawatan
adalah bagi memenuhi keperluan negara khususnya bagi keselamatan, pendidikan
dan kesihatan.
"Pendekatan penugasan semula dan tukar ganti pula
digunakan bagi memenuhi fungsi dan tugas agensi," katanya. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment