PAC CADANG TUBUH
JAWATANKUASA KHAS SETIAP KEMENTERIAN
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan
mencadangkan kepada kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di setiap
kementerian untuk memantau perbelanjaan wang negara, kata Pengerusinya Datuk
Nur Jazlan Mohamed.
Katanya, jawatankuasa khas ini mempunyai fungsi yang sama
seperti PAC dengan keanggotaannya terdiri daripada anggota-anggota Parlimen parti
kerajaan dan juga pembangkang.
"Kita cuma ada satu PAC sahaja untuk memantau semua
kementerian. Sedangkan di United Kingdom (UK), setiap kementerian ada
jawatankuasa macam PAC," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari
ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan sembilan
anggota Parlimen UK diketuai anggota Parlimen dari Parti Konservatif UK, Ian
Liddell-Grainger.
Katanya, jawatankuasa khas berkenaan akan menyoal
perbelanjaan setiap kementerian yang dipantau dan soalan itu harus dijawab oleh
menteri atau pegawai tertinggi kementerian berkenaan.
"Di UK, dia ada jawatankuasa khas untuk Kementerian
Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan sebagainya. Kita dapat idea ini
selepas bertukar pendapat dengan rakan-rakan kita dari UK dan difikirkan wajar
untuk kita cadangkan kepada kerajaan," katanya.
Soal jawab di antara anggota dalam jawatankuasa khas itu
akan meningkatkan lagi interaksi di antara anggota Parlimen dan mereka yang
memegang kuasa eksekutif dan seterusnya pentadbiran kementerian akan dapat
dilaksanakan dengan lebih baik, katanya.
Sementara itu, Jazlan memuji langkah Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menawarkan diri untuk bertemu
dengan PAC Khamis ini berhubung isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis Korea
semasa sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun lepas seperti yang dibangkitkan
dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
Bayaran itu dibuat semasa Ahmad Shabery menerajui
Kementerian Belia dan Sukan dan tindakan beliau wajar dicontohi menteri-menteri
lain, katanya.
Nur Jazlan juga melarang media mempolitikkan pertemuan PAC
dengan Ahmad Shabery kerana tindakan beliau (Ahmad Shabery) lebih kepada rasa
tanggungjawab sebagai seorang menteri untuk menjelaskan perkara yang benar dan
langkah beliau akan membolehkan PAC mendapat maklumat terperinci. - Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment