BILANGAN PENJAWAT
AWAM RAMAI BUKAN ISU
GEORGETOWN - Bilangan penjawat awam di negara ini tidak
seharusnya dijadikan isu kerana apa yang penting adalah bagaimana mahu
meningkatkan sistem penyampaian dan kecekapan perkhidmatan awam, kata Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Beliau berkata, kecekapan perkhidmatan dan inovasi penjawat
awam seharusnya menjadi agenda utama dalam usaha mentransformasikan sektor
perkhidmatan awam agar ia selaras dengan perubahan dan perkembangan
semasa.
"Kita tidak bercakap dari segi jumlah, tetapi kita
bercakap dari segi produk yang kita nak buat...yang boleh memberi kejayaan
kepada negara.
"Kalau kita bercakap dari segi nombor semata-mata tapi
dari segi hasil dan produknya kita tidak bercakap, jadi tidak nampaklah
kejayaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Inovasi
Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini.
Beliau berkata, demikian sebagai mengulas cadangan
sesetengah pihak supaya bilangan penjawat awam dikurangkan bagi meningkatkan
kecekapan sektor perkhidmatan awam.
Mohamad Zabidi berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan
setiap penjawat awam dapat meningkatkan perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi
membolehkan sektor itu bergerak seiring dengan status negara maju menjelang
2020.
"Pegawai-pegawai perkhimatan awam adalah tulang
belakang kepada pelaksanaan. Daripada dulu lagi mereka memainkan peranan
penting dan peranan ini akan kita teruskan. Ilmu pengetahuan, teknologi dan
kemahiran baharu yang kita perlukan, ini yang akan kita tingkatkan,"
tambahnya.
Mengulas mengenai seminar itu, Mohamad Zabidi berkata
kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sektor awam menganjurkan program
seumpama itu mampu membentuk dimensi baharu dalam memperkasa pembangunan modal
insan.
Beliau berkata, jalinan kerjasama itu adalah cerminan
pendekatan kreatif dan inovatif dalam menterjemahkan hasil dengan lebih cepat
dan berkesan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
Katanya kolaborasi proaktif itu wajar dikembangkan kerana ia
secara langsung menyumbang kepada usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan
perkhidmatan awam ke tahap yang lebih baik.
Seminar dua hari bertemakan 'Kreativiti dan Inovasi Menjana
Modal Insan Produktif' itu adalah anjuran bersama Institut Tadbiran Awam Negara
dan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia
bertujuan membincangkan pendekatan pembangunan budaya inovasi dalam perkhimatan
awam. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment