HUDUD:
PENGAJARAN TERBAIK JAUHI JENAYAH
SHAH ALAM – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melihat
perlaksanaan hudud perlu bagi memberi peringatan dan pengajaran buat masyarakat
supaya tidak terlibat dengan jenayah.
Presidennya, Musa Awang berkata, dari segi konsep hukumannya wujud bertujuan
untuk menggerunkan masyarakat daripada melakukan kesalahan.
“Sebenarnya masyarakat tidak perlu bimbang jika hudud ini
dilaksanakan kerana biarpun hukumannya berat namun ia cukup sukar untuk
dibuktikan dan dijatuhkan kepada tertuduh.
“Namun hukuman ini perlu ada kerana ia akan menjadi
pengajaran terbaik dan mengingatkan masyarakat untuk menjauhi jenayah dan
seterusnya negara menjadi lebih aman,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, terdapat dua perkara membolehkan mahkamah syariah
menjatuhkan hukuman hudud kepada pesalah.
“Hukuman hudud boleh dikenakan sekiranya tertuduh mengaku
melakukan kesalahan tersebut dan satu lagi adalah empat orang saksi yang
melihat sendiri kejadian yang berlaku.
“Jika kedua-duanya tiada maka tertuduh itu akan menerima
hukuman yang sedia ada pada hari ini bukannya hudud,” katanya.
Selain itu, Musa berkata, masyarakat bukan Islam juga tidak
perlu risau kerana tidak terlibat dalam perlaksanaan hudud ini.
“Sebesar mana pun kesalahan mereka, masyarakat bukan Islam
tidak akan dikenakan hukuman hudud. Jadi mereka tidak perlu takut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment