PRK KUALA BESUT MUNGKIN TANDING 3 PENJURU
DUNGUN – Bekas
Ketua Perhubungan Negeri PKR Terengganu, Mohd Padeli Jusoh sedia bertanding
atas tiket Bebas sekiranya Pas sebagai rakan dalam PR tidak memberi laluan
kepada PKR untuk meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Besut
yang kini kosong.
Beliau dalam
satu kenyataannya kepada Sinar Harian berkata, kerusi Dun Kuala Besut yang kini
kosong berikutan kematian wakil rakyatnya sepatutnya menjadi milik PKR untuk
menggantikan tiga kerusi Dun, masing-masing Kota Putera, Bukit Besi dan Seberang
Takir yang difahamkan diambil Pas pada PRU13.
Beliau
berkata, kali ini Pas seharusnya memberi laluan kepada PKR untuk meletakkan
calonnya berikutan dalam PRU13 baru-baru ini PKR telah memberi laluan kepada
Pas biarpun tiga kerusi Dun berkenaan telah diperuntukkan kepada PKR.
"Jadi
tiada sebab kenapa Pas tidak boleh beri laluan kepada kita untuk hanya satu Dun
sahaja,” katanya.
Mohd Padeli
berkata, sudah sampai masanya Pas membuat keputusan sebagai satu pasukan dalam
PR, dan bukannya membuat keputusan sendiri seperti yang berlaku pada PRU13 di
Terengganu baru-baru ini.
Katanya,
sebagai rakan dalam PR, Pas seharusnya bersikap lebih setiakawan dan sanggup
berkorban demi kejayaan rakan lain dalam PR.
“Walaupun PKR
Terengganu merupakan organisasi yang kecil dalam PR berbanding Pas, namun impak
dan peranannya cukup relevan dalam menjayakan agenda PR di negeri Terengganu.
"Jika
pandangan ini tidak diterima atau dipandang sepi oleh pemimpin PR, mungkin saya
akan bertanding di situ sebagai calon Bebas,” kata Padeli lagi yang merupakan
ahli PKR cabang Dungun.– Sinar Harian
No comments:
Post a Comment