OP CANTAS KHAS DIPERHEBAT TANGANI JENAYAH
KUALA LUMPUR -
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan Op Cantas Khas yang dilancarkan
sejak Sabtu lalu khususnya di Lembah Klang untuk membendung aktiviti jenayah
yang mengancam keselamatan negara.
PDRM dalam laman
Facebook hari ini memaklumkan, usaha meningkatkan operasi tersebut adalah
selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, pelaksanaan Op Cantas Khas bagi
membendung kegiatan jenayah khususnya yang berkaitan aktiviti kongsi gelap
serta jenayah yang menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam,
dipergiatkan di sekitar Lembah Kelang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)
dengan kerjasama semua ibu pejabat polis daerah berkaitan," jelas
kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan
itu, semalam, pemeriksaan melalui sekatan jalan raya telah ditumpukan di
kawasan Sentul dan Wangsa Maju di ibu negara.
Di Selangor pula,
operasi dijalankan di Batu Caves, Rawang, Pandan Indah, Bandar Sunway Puchong,
Dengkil dan Bestari Jaya.
Katanya, sebanyak
sembilan pasukan khas terdiri daripada pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman,
Selangor dan Kuala Lumpur terlibat dalam pemeriksaan tersebut.
“Pemeriksaan dijalankan itu bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan
kongsi gelap di seluruh negara. Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak
polis sepanjang operasi ini dijalankan demi menjamin kesejahteraan dan
keselamatan seluruh masyarakat," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu,
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi
memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 1,551 individu dan 1,000 kenderaan
diperiksa dalam Op Cantas Khas di Lembah Klang semalam.
“Hasil pemeriksaan, kita telah menangkap 32 orang kerana terlibat
melakukan pelbagai kesalahan jenayah manakala 76 saman terhadap pemandu turut
dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.
Di SHAH ALAM, polis
Selangor memaklumkan sebanyak 683 individu yang dipercayai terlibat dalam
pelbagai jenayah ditahan sepanjang tiga hari Ops Khas Pencegahan Jenayah di
seluruh negeri itu.
Daripada jumlah
itu, 211 orang ditahan reman bagi membantu siasatan kerana terlibat dalam
pelbagai kesalahan jenayah antaranya memiliki senjata, dadah dan lain-lain.
Di MELAKA, polis
kontinjen itu memeriksa sebanyak 29 orang, namun tiada tangkapan dibuat dalam
operasi di seluruh negeri itu sejak Sabtu lalu.
Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata,
operasi tersebut turut memfokuskan gerakan memburu empat suspek lelaki yang
terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Taman Seri Duyong
pada Mac lalu.
Sementara itu, di
SEREMBAN, polis menahan lapan lelaki termasuk empat yang tersenarai sebagai
orang dikehendaki selepas memeriksa 491 individu dalam Op Cantas Khas, kata
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan
Majid. - Utusan Online
No comments:
Post a Comment