PTPTN: SAM1M TIDAK SETUJU GUNA SISTEM RUJUKAN MAKLUMAT
KREDIT BERPUSAT
KUANTAN - Suara
Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk
menggunakan sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) kepada peminjam
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik
pinjaman mereka.
Ketua Penerangan
SAM1M, Muhammad Faiz Hashim berkata, jika tindakan itu dilakukan, anak muda
akan menerima kesan dan tekanan yang lebih teruk selain sedang bergelut di
dalam survival kehidupan serta kos sara hidup di bandar yang kini semakin
tinggi.
"Sudahlah
anak muda tidak mampu memiliki rumah kerana kos rumah yang terlalu tinggi,
sekarang mahu menyenaraihitamkan pula mereka. Tindakan ini seolah-olah menindas
anak muda dan kesan di sebaliknya mereka akan terus menjauhi kerajaan.
"Banyak
kaedah lain yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan permasalahan ini
umpamanya pihak kerajaan berbincang dengan majikan tempat peminjam bekerja dan
membuat potongan yang paling minimum dan tidak membebankan," katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Faiz
berkata, kerajaan perlu bijak menyelesaikan sesuatu masalah ibarat menarik
rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
Beliau berkata,
pemerintah yang bijak bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah malah
berkemampuan menarik sokongan orang muda agar lebih meyakini mereka.
"Kerajaan
seharusnya menarik lebih ramai sokongan anak muda, bukannya menjauhkan lagi dan
isu PTPTN adalah isu yang dekat dalam diri anak muda," katanya. - Utusan
Online
No comments:
Post a Comment