DUA SKUAD KHAS BANTERAS JENAYAH, DADAH
JAKARTA -
Kegelisahan dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kadar jenayah yang semakin
meningkat sejak kebelakangan ini membuatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan
memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Mengakui rakyat
Malaysia mempunyai asas untuk berasa bimbang, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) juga sudah menubuhkan dua skuad khas yang berpusat di Bukit
Aman khusus memberi tumpuan terhadap usaha menangani jenayah dan mematahkan
kegiatan pengedaran dadah.
Menurut menteri
berkenaan, kedua-dua skuad khas itu akan memberikan fokus khusus kepada
kumpulan sasaran tanpa melalui saluran-saluran birokrasi kepolisian seperti
kelazimannya.
"Rakyat ada
asas untuk bimbang kerana kejadian tembak, membunuh berlaku hampir setiap
minggu. Saya juga ada bukti peningkatan dari segi statistik (indeks) jenayah
khususnya di kawasan-kawasan red spot," kata Ahmad Zahid kepada wartawan
di sini hari ini.
Pada masa sama,
pengenalan Op Cantas juga, jelas beliau, merupakan komitmen berterusan PDRM
bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta
Kediaman Terhad dihapuskan.
Op Cantas
merupakan antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha
pencegahan di seluruh negara khususnya sejumlah kes tembak dilaporkan di
Malaysia sejak kebelakangan ini.
Justeru, Ahmad
Zahid meminta semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak skeptikal terhadap
usaha-usaha membanteras jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Katanya, langkah
membasmi jenayah yang dibuat termasuk melancarkan 'perang' habis-habisan
terhadap penjenayah jangan sesekali dipandang ringan kerana PDRM begitu komited
dan serius mewujudkan rasa kepuasan dan kebolehpercayaan rakyat terhadap pihak
berkuasa itu.
"Langkah-langkah
yang dibuat jangan disanggah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan
parti politik yang merasakan kita (PDRM) telah melakukan sesuatu yang di luar
batas-batas yang diizinkan.
"Inilah harga
yang terpaksa dibayar apabila kumpulan yang melakukan jenayah ada di mana-mana
(selepas EO dihapuskan)," tegas beliau lagi.
Melalui Op Cantas,
Ahmad Zahid berkata, kesemua penjenayah yang ditahan oleh pihak berkuasa akan
didakwa berlandaskan siasatan terperinci serta dibawa ke pengadilan
memandangkan undang-undang pencegahan sudah dihapuskan.
Sebagai Menteri
Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga mempertahankan tindakan PDRM yang terpaksa
menembak mati penjenayah dalam operasi memandangkan itu langkah terakhir untuk
mempertahankan nyawa.
"Jika mereka
(penjenayah) melakukan langkah yang agresif maka PDRM tak ada pilihan selain
daripada mempertahankan diri. Apa yg berlaku ialah penjenayah mencabar
PDRM," ujar Ahmad Zahid lagi. - Utusan Online
No comments:
Post a Comment