MUAR - Hasrat DAP mahu bertanding 15
daripada 26 kerusi Parlimen di Johor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13)
membuktikan sikap dominasi parti itu ke atas PAS dan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dalam pakatan pembangkang.
Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali
Ibrahim berkata, ia juga menyerlahkan lagi andaian bahawa tiada kesepakatan di
kalangan pemimpin pakatan pembangkang dalam menentukan kerusi yang akan mereka
tandingi.
“Setiap pemimpin parti dalam pakatan
pembangkang membuat kenyataan sendiri, tidak seperti Barisan Nasional (BN) hanya
seorang sahaja yang akan mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu keputusan
yang dibuat,” katanya.
Mengenai hasrat tokoh veteran DAP Lim
Kit Siang yang ingin bertanding di Johor, Razali berkata DAP memberi tumpuan di
Johor, Sarawak dan Sabah kerana BN menguasai lebih banyak kerusi di ketiga-tiga
negeri itu.
Beliau berkata, Lim tahu pakatan
pembangkang perlu memenangi lebih kerusi Parlimen pada PRU-13 untuk memenuhi
impiannya untuk menawan Putrajaya kerana itu memberi tumpuan pada negeri yang
dikuasai BN.
Terdahulu dalam ucapannya, Razali berkata
rakyat atau pengundi di negara ini adalah golongan yang bijaksana dan tahu
menilai antara persepsi dengan prestasi.
Beliau yakin, mereka akan memberi
penilaian lebih tinggi terhadap prestasi kerajaan BN sekarang berbanding
persepsi tidak baik yang cuba dicanangkan oleh pembangkang.
Ini kerana katanya, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sentiasa memberi penekanan kepada kebajikan
rakyat berbanding pemimpin pembangkang yang didakwanya mengutamakan kuasa dan
kedudukan diri sendiri. – Bernama/KLExpress
No comments:
Post a Comment