MENJELANG PRU13: PKR, PAS PERAK BERTELAGAH
BERHUBUNG KERUSI DUN CHANGKAT JERING
BUKIT GANTANG - Pergolakan dalam
pakatan pembangkang Perak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 terus memuncak
selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah tindakan Pas yang didakwa
'melanggar syarat' ketika mengumumkan calonnya bertanding di kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering.
Pengerusi PKR negeri, Muhamad Nur
Manuty menegaskan, tindakan Pas mengumumkan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri,
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di kerusi itu belum muktamad
kerana Pas perlu menyerahkan kerusi lain sebagai ganti.
"Memang kita tidak bersetuju
kerana Pas belum memberikan kerusi lain sebagai ganti. Dahulu, memang ada
dengar Pas mahu beri kerusi DUN Belanja kepada PKR, tetapi sehingga kini tidak
dengar apa-apa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Abu Bakar
Hussian dalam ceramah di Air Kuning, di sini malam tadi mengumumkan Mohammad
Nizar akan bertanding di Changkat Jering, sekali gus mengesahkan spekulasi
pemimpin tersebut tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pasir Panjang.
Walau bagaimanapun, ceramah itu tidak
dihadiri mana-mana pemimpin PKR.
Abu Bakar ketika membuat pengumuman
itu mendakwa, keputusan tersebut dibuat Badan Perhubungan Pas Perak dalam
mesyuarat kelmarin dan dipersetujui Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Pengumuman mengejut itu dipercayai
sebagai maklum balas terhadap tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengumumkan nama Muhammad Nur sebagai calon kerusi Parlimen Bagan Serai dalam
ceramah pada 15 Mac lalu walaupun tidak dipersetujui pucuk pimpinan Pas
bahagian itu.
Muhamad Nur berkata, berdasarkan
persetujuan sebelum ini, kerusi DUN Changkat Jering hanya akan diberikan kepada
Pas jika Mohammad Nizar bertanding di kawasan itu dan parti tersebut perlu
menyerahkan kerusi 'boleh menang' lain kepada PKR.
"Kita akan berpegang kepada
persefahaman awal dan rasmi bahawa kerusi DUN Changkat Jering boleh diberikan
kepada Pas dengan syarat Mohammad Nizar sendiri bertanding di situ dan
berkonsepkan pertukaran kerusi," katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12,
Mohammad Nizar bertanding di DUN Pasir Panjang dalam kawasan Parlimen Lumut dan
menang dengan majoriti 4,474 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN),
Datuk S. Vasan.
Walau bagaimanapun, terdapat
desas-desus menyatakan Pas akan meletakkan Mohammad Nizar bertanding di kerusi
lain bagi 'menyelamatkan' pemimpin itu yang dijangka berdepan laluan sukar jika
terus bertanding di Pasir Panjang.
Perkara itu memandangkan MIC
menyerahkan semula kerusi majoriti orang Melayu tersebut kepada UMNO. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment