Presiden CAP
menunjukkan gambar-gambar
yang memaparkan kemalangan negeri
dalam terowong yang
berlaku di luar negara
- Foto
Bernama/SinarHarian
|
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau
Pinang (CAP) mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan projek terowong
dasar laut kerana ia dipercayai akan mendatangkan kerugian dalam waktu jangka
panjang.
Presidennya S.M Mohamed Idris berkata,
projek itu bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan lalu
lintas dan kerajaan negeri harus mengkaji pelbagai aspek terutama melibatkan
keselamatan pengguna serta kesan terhadap alam sekitar.
"Projek itu sebenarnya
mengembangkan lagi rangkaian jalan sedia ada menyebabkan jalan itu nanti akan
bertambah sesak.
Di negeri ini, pertambahan kenderaan
baharu mencecah 100,000 setiap tahun, masalah kesesakan lalu lintas akan
berlaku lebih awal daripada yang dijangka," katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Beliau berkata projek terowong itu hanya
memberi keutamaan kepada kenderaan bermotor dan hanyalah berupa penyelesaian
jangka pendek.
"Kami melihat Ketua Menteri (Lim
Guan Eng) bercadang meneruskan dasar yang akan mewujudkan keadaan yang lebih
buruk dan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya,"
katanya.
Guan Eng baru-baru ini mengumumkan
pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menghubungkan
Persiaran Gurney di pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar.
Projek mega yang diumum kerajaan negeri
pimpinan DAP itu melibatkan pembinaan empat lebuh raya utama termasuk terowong
bawah dasar laut berkenaan.
Pembinaan projek itu diserah kepada
Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas yang dibentuk
daripada lima syarikat - Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway
Construction (dua syarikat ini memegang keseluruhan 70 peratus ekuiti), Beijing
Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd yang
masing-masing memiliki 10 peratus.
Mohamed Idris berkata, Guan Eng dilihat
seolah-olah begitu terdesak mengumumkan projek itu sedangkan Jambatan Kedua
Pulau Pinang kedua masih belum beroperasi dan kesan lalu lintas belum dapat
dinilai lagi.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Lim
menyerahkan tanah tebus guna seluas 44.51 hektar di Tanjung Pinang sebagai
bayaran kepada pemaju projek berkenaan kerana nilai tanah semakin meningkat dan
mendakwa transaksi seumpama itu hanya memanfaatkan pemaju.
Beliau mendakwa projek itu juga akan
merosakkan kawasan pantai di negeri ini. – Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment