KOTA
KINABALU — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd
Yusof yakin pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak di seluruh negara
termasuk di kawasan pencerobohan pengganas di Lahad Datu.
Ini kerana
katanya keadaan di kawasan itu, khususnya Kampung Tanduo, bertambah baik dan
beliau yakin situasi di situ dan kawasan sekitar akan kembali tenang dalam masa
terdekat.
“Saya tidak
akan membuat spekulasi mengenai keadaan di Lahad Datu khususnya di Tanduo dan
sekitarnya, namun saya cukup yakin dengan usaha pasukan keselamatan, keadaan di
situ kembali aman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan taklimat
susulan pegawai pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguat kuasa kempen
pilihan raya bagi pilihan raya umum ke-13, di sini hari ini.
Menurut
Abdul Aziz terdapat dua pusat mengundi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung
Labian dan SK Tunku di kawasan Zon Merah yang diisytiharkan susulan insiden
pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo pada 12 Feb lepas.
Zon Merah
terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tunku yang kini diwakili
Barisan Nasional (BN) menerusi Datuk Mohd Suhaili Said. DUN Tunku pula terletak
dalam kawasan Parlimen Silam bersama-sama DUN Lahad Datu dan Kunak.
Beliau juga
mengesahkan Daftar Pemilih sehingga 31 Dis lepas yang diwartakan pada 22 Feb
lalu akan terpakai jika Parlimen dibubar hujung bulan ini.
Bagaimanapun
proses pembersihan Daftar Pemilih itu masih diteruskan sehingga Parlimen
dibubar, katanya.
Menurut
Abdul Aziz, Sabah kini mempunyai 982,644 pengundi berdaftar yang layak mengundi
pada pilihan raya umum akan datang selain 24,497 pengundi berdaftar bagi
kawasan Parlimen Labuan.
Beliau
berkata SPR akan menempatkan 17,615 petugas di Sabah bagi menguruskan proses
pilihan raya di negeri itu yang dijangka menelan belanja RM50 juta, meliputi 25
kerusi parlimen di Sabah dan satu di Labuan serta 60 kerusi DUN.
Mengenai
pengangkutan udara dan air khususnya di kawasan luar bandar Sabah, Abdul Aziz
berkata perkhidmatan helikopter akan diguna di 86 pusat mengundi, manakala bot
pula di 55 pusat mengundi.
Mengenai
pasukan penguat kuasa, beliau berkata lima kawasan parlimen iaitu Sepanggar,
Kota Kinabalu, Batu Sapi, Sandakan dan Tawau akan dipantau dua pasukan,
manakala di kawasan lain satu pasukan.
Bilangan
pengundi pos berdaftar luar negara untuk Sabah ialah 65 orang setakat ini,
termasuk 20 di Kota Kinabalu, sembilan masing-masing di Penampang dan Putatan
serta lapan di Tawau.
Abdul Aziz
turut mengingatkan parti politik yang akan bertanding agar berkempen secara
berhemah dan bertanggungjawab tanpa membangkitkan isu sensitive terutama
berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu.
“Saya yakin
‘orang-orang Sabah’ ini baik-baik belaka, tidak ada yang suka memburuk-burukkan
orang lain, dan saya fikir, kalau semua pihak betul-betul berkempen (dengan
mematuhi peraturan yang ditetapkan) dan bertanggungjawab, pilihan raya kita
akan berjalan dengan baik dan tiada masalah,” katanya.
“Pihak
polis kita akan mengawal keadaan di semua kawasan sepanjang tempoh kempen
pilihan raya, dan dalam keadaan tertentu, jika perlu, kita boleh juga meminta
bantuan dari pihak tentera,” katanya.
Beliau
turut menasihati pengundi di Sabah terutama di Lahad Datu agar menunaikan
tanggungjawab mereka apabila pilihan raya diadakan.
“Jangan
takut dan jangan dengar khabar angin. Keluarlah beramai-ramai bagi menunaikan
tanggungjawab anda sebagai pengundi,”
katanya.
Terdahulu
dalam ucapannya, Abdul Aziz meminta para petugas, terutama pengurus dan
penolong pengurus pilihan raya supaya
menjalankan tugas mereka dengan adil tanpa
rasa takut atau berat sebelah. — Bernama/TheMalaysianInsider
KD: Benarlah ada pendapat mengatakan, pilihan raya umum
kali ini adalah paling panas, sengit dan mencabar.
No comments:
Post a Comment