KUALA
LUMPUR - Bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu
yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu perlu dihentikan kerana mereka
telah melanggar syarat.
Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembayaran tersebut
diberikan sebagai memegang perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua
pihak.
"Syaratnya
ialah tidak kacau kita, tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas,
tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecahkan kepala. Apa jenis manusia ini
yang kata Islam.
"Sekarang
kita bayar harga lama dan tak boleh minta harga baru, lagipun bukan dia yang
memajukan Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas Bicara Tani Dalam
Konvensyen Usahawan Tani 1Malaysia 2013, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, kerajaan harus segera menghentikan bayaran
itu kerana keturunan kesultanan Sulu tidak mempunyai ‘locus standi’ bagi
menerima bayaran berkenaan.
Menurut Dr.
Mahathir, sebelum ini, kerajaan telah pun menerima orang Sulu yang tinggal di
Sabah.
"Sebenarnya
ada wakil rakyat juga terdiri daripada orang Sulu termasuk sekarang ini Yang
di-Pertua Sabah, jadi secara tidak langsung orang Sulu sudah menguasai
Sabah," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim
meminta Peguam Negara mengkaji secepat mungkin berhubung bayaran penyerahan
wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada pihak yang mendakwa Sultan Sulu.
Beliau
berkata, ini bagi membolehkan kerajaan melihat semula dari sudut undang-undang
sama ada perlu untuk segera menamatkan bayaran tersebut.
Dari sudut
sejarah Sultan Sulu telah lama tamat kedaulatannya iaitu sejak 1878.
"Kerajaan
harus melihat semula dari sudut undang-undang antarabangsa, undang-undang
kontrak dan undang-undang konvensional sama ada perlu kita segera tamatkan
bayaran kepada pihak yang kononnya Sultan Sulu itu.
"Dari
sudut pengkajian, pada 1903, kuasa Sultan Sulu telah diambil North Borneo
Company. Maka, jelaslah berakhir kedaulatan mereka dan kini ada sembilan cabang
keluarga diraja Sulu yang kita tidak tahu siapa sebenarnya menjadi ketua dan
sultannya," katanya. -UtusanOnline
KD: Buat baik berpada-pada..
No comments:
Post a Comment